PeSAWAH menanti khabar gembira harga lantai padi baharu

PeSAWAH menanti khabar gembira harga lantai padi baharu

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) lega perjuangan mereka menuntut kenaikan harga lantai padi akhirnya terjawab selepas ia dijangka diumumkan kerajaan minggu depan.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata pihaknya berharap kenaikan harga lantai padi akan ditetapkan pada kadar relevan dengan kos semasa untuk memastikan ia memberi manfaat kepada golongan pesawah.

Bagaimanapun, pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak mahu membuat sebarang spekulasi sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Kami tidak mahu membuat andaian yang boleh mengganggu proses di peringkat kementerian namun kami berharap pengumuman itu akan membawa khabar gembira kepada pesawah, terutamanya berkaitan tuntutan yang telah kami kemukakan sebelum ini.

“Kami tidak mahu ulas (lanjut) tapi kita harap kenaikan seperti mana yang kita tuntut dalam memorandum sebelum ini ,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Rashid menjelaskan kekeliruan tentang bantuan sumbangan tunai ataupun elaun tunggu tuai RM600 setahun kepada pesawah bukannya untuk menampung kos diesel atau kenaikan kos lain.

Katanya, elaun berkenaan adalah sama seperti mana bantuan kepada nelayan ketika musim tengkujuh.

“Elaun tunggu tuai ini tidak mengambil kira keluasan sawah, sebaliknya diberikan kepada petani berdaftar, elaun ini diberikan pada zaman Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan diteruskan sehingga kini, ” katanya

Hari ini, Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengumumkan kadar harga lantai padi yang baharu pada minggu depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top