am@hmetro.com.my
Alor Setar: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menggesa Ketua Pengarah, Bahagian Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk segera mengeluarkan arahan penurunan harga benih padi bagi musim 1/2025.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, gesaan itu dibuat berikutan harga kawalan benih padi di pintu kilang pada ketika ini masih RM58 satu beg seperti ditetapkan pada Mac 2024 iaitu ketika harga padi semasa yang ditawarkan kilang mencapai RM1,800 satu tan.
Katanya, alasan kenaikan harga benih pada ketika itu adalah kerana mengikut harga belian padi.
“Penurunan harga belian padi pada tuaian yang lepas iaitu sekitar RM1,500 menjadikan harga benih semasa tidak lagi munasabah.
“Musim tanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) fasa pertama (pelepasan air) akan bermula pada 16 April (Rabu ini).
“Sekarang pesawah terpaksa beli benih padi sah dengan harga RM58 satu beg (20 kilogram), malah ada kawasan seperti di Johor dan Melaka mencecah RM65 satu beg.
“Kami mahu harga turun kembali kepada RM35 satu beg seperti sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rashid berkata antara alasan yang menyokong gesaan itu adalah kerana kenaikan kos sara hidup dan penghapusan subsidi diesel.
“Keadaan ini telah meningkatkan kos operasi pertanian secara mendadak, sekaligus menjejaskan pendapatan bersih pesawah,” katanya.
Selain itu, katanya penurunan harga benih itu perlu bagi memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara dan memberi impak positif kepada pendapatan mereka.
“Pesawah adalah tulang belakang pengeluaran makanan negara, sokongan yang sewajarnya, termasuk penurunan harga benih, adalah penting untuk memastikan pesawah dapat terus menghasilkan padi bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia.
“PeSAWAH percaya bahawa tindakan segera oleh KP Bahagian Padi dan Beras dalam mengeluarkan arahan penurunan harga benih padi akan memberi kelegaan kepada pesawah dan menyumbang kepada kestabilan sektor pertanian negara.
“Kami berharap kementerian dapat mempertimbangkan gesaan ini dengan serius dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd