Pesara wanita rugi RM108,000 akibat 'scam'

Pesara wanita rugi RM108,000 akibat 'scam'

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pesara wanita kerugian RM110,000 selepas menjadi mangsa penipuan ‘phone scam’, bulan lalu.

Kejadian bermula apabila mangsa berusia 61 tahun yang berada di rumahnya di daerah ini menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri daripada syarikat insurans pada 10 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek memaklumkan nama mangsa disalah guna oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan tuntutan insurans perubatan sebanyak RM63,000.

Beliau berkata, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada pihak polis sebelum mangsa diarahkan membuka akaun bank yang baharu.

“Mangsa memindahkan wang sebanyak RM45,000 daripada akaun Tabung Haji miliknya ke akaun bank yang baharu dan memberikan maklumat bank kepada ‘scammer’.

“Selain itu, mangsa turut membuat pinjaman peribadi sebanyak RM50,000 dan memindahkan wang itu ke dalam akaun yang baru dibuka.

“Mangsa turut membuat tiga lagi transaksi sebanyak RM13,000 ke dua akaun lain dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM110,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Azli berkata, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top