PETALING JAYA: Seorang pesara berputih mata apabila mengalami kerugian sehingga RM3.2 juta selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan saham, Efa Trade yang berpangkalan di Singapura.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan di Petaling Jaya dari seorang pesara swasta berusia 77 tahun dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada November lalu.
“Mangsa pada awalnya berminat menyertai pelaburan saham di Facebook dikenali sebagai Efa Trade iaitu syarikat antarabangsa yang berpusat di Singapura.
“Mangsa dijanjikan pulangan yang lumayan dan telah diyakinkan untuk membuat pelaburan dalam 27 kaunter saham. Mangsa telah diminta membuat 15 transaksi bayaran melibatkan tiga akaun bank berjumlah RM3.2 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, pada penghujung bulan lalu, pihak syarikat pelaburan itu menyatakan ia akan ditutup dan setiap pelabur dikehendaki membayar komisen sebanyak 15 peratus kepada Efa Trade daripada hasil keuntungan yang diperoleh.
Jelasnya, ini bagi membolehkan pelabur mengeluarkan keuntungan dan hasil pelaburan mangsa dikatakan mencecah RM22 juta yang ditunjukkan dalam aplikasi.
“Mangsa sedar diperdaya apabila mendapati bahawa dokumen pelaburan diberikan mangsa adalah palsu. Susulan itu kami membuka kertas siasatan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan,” katanya.-UTUSAN.