Pesanan Paksu Mid agar anak-anak jadi soleh, solehah

Pesanan Paksu Mid agar anak-anak jadi soleh, solehah

PENDEDAHAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah negeri baru-baru ini melibatkan masalah sumbang mahram dan gejala sosial begitu membimbangkan kita semua.

Masakan tidak, kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun atau masih di sekolah rendah, sudah pun mampu menghamilkan sepupunya yang berumur 15 tahun atas dasar cinta dan suka sama suka.

Hasil kajian PDRM mendapati antara punca berlakunya peningkatan kes tersebut ialah konflik keluarga, hubungan cinta, pendedahan kepada video atau gambar lucah, kurangnya didikan agama, pengaruh rakan sebaya serta penggunaan dadah.

KERATAN berita berkaitan sumbang mahram dan gejala sosial yang begitu membimbangkan.

KERATAN berita berkaitan sumbang mahram dan gejala sosial yang begitu membimbangkan.

Ia benar-benar merisaukan ibu bapa yang mempunyai anak-anak dalam kalangan kanak-kanak mahupun remaja.

Pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman dalam hal ini berkongsi doa dan amalan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa dalam usaha mencegah anak-anak daripada terjebak dan terjerumus dalam gejala sosial.

“Baru-baru ini berita yang sangat menyedihkan daripada polis yang menyatakan ada satu kes seorang budak lelaki berumur 11 tahun menyebabkan sepupunya 15 tahun mengandung. Sangat menyedihkan.

“Jadi saya teringat pesanan Paksu Mid kepada saya dan rakan-rakan untuk memastikan zuriat dan anak-anak kita itu menjadi anak-anak soleh serta solehah,” katanya ketika berkongsi di akaun TikToknya pada Sabtu.

Paksu Mid atau nama sebenarnya Sheikh Abdul Hamid Ismail merupakan seorang ulama yang terkenal dengan amalan puasa dan suka membaca al-Quran.

PU SALMAN

PU SALMAN

Menurut PU Salman, beliau sering menziarahi Paksu Mid di Pokok Sena, Kedah sekitar tahun 1996 hingga 2000 dan Paksu Mid berpesan dua perkara berkaitan perkara tersebut:

1 – Amalkan doa daripada ayat ke-15 surah al-Ahqaf

Menurut PU Salman, doa ini untuk orang yang berumur 40-an memandangkan umur tersebut banyak berhadapan dengan anak-anak yang mempunyai pelbagai kerenah dan masalah.

“Pada umur 40 tahun, kita berhadapan dengan anak-anak sekolah rendah, bayi, sekolah menengah dan ada yang sudah mendapat menantu.

“Walaupun belum mencapai umur 40 tahun, kita juga boleh mengamalkannya kerana doa ini sangat baik untuk mendapat zuriat yang baik,” jelasnya.

DOA yang diajarkan Paksu Mid kepada PU Salman untuk mendapatkan zuriat dan anak-anak soleh.

DOA yang diajarkan Paksu Mid kepada PU Salman untuk mendapatkan zuriat dan anak-anak soleh.

Doa tersebut bermaksud: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-MU yang ENGKAU kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang ENGKAU redai. Dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).” (Surah al-Ahqaf: 15)

2 – Amalan ulama terdahulu

Pendakwah itu menjelaskan, satu lagi pesanan Paksu Mid berkaitan anak-anak soleh ialah amalan yang diambil daripada pengalaman ulama-ulama terdahulu.

“Caranya selepas solat Isyak, ibu atau ayah duduk dan pejamkan mata serta bayangkan anak-anak datang kepada kita, seorang demi seorang. Datang dan bersalaman dengan kita serta cium tangan.

“Ini imaginasi dan Nabi SAW bersabda bahawa ALLAH mengikut sangkaan hambanya. Maksudnya kita bayangkan anak-anak kita sebagai anak yang taat dan baik.

“Sentiasa amalkan. Insya-ALLAH bila kita sering imaginasi yang baik-baik, maka anak-anak kita akan jadi seperti yang kita harapkan,” jelasnya.

Scroll to Top