Pesanan bernilai usah 'dibungkus' dalam ingatan

Pesanan bernilai usah 'dibungkus' dalam ingatan

Dalam menjalani kehidupan sehari-hari, ada kalanya kita menjadi terlalu asyik sehingga terlupa kepada bekalan hari abadi di perkampungan akhirat. Dalam keseronokan mengharungi kelazatan nikmat duniawi, ada ketika kita sering lupa bahawa segala yang sedang dikecapi hanya bersifat fana yang akan berakhir jua.

Namun, apabila kita bertembung dengan sesuatu musibah dan ujian, maka ketika itu juga kita tersedar dan kembali menyedari perlunya pertolongan Allah SWT. Kita insaf dan ingin dekat dengan Allah SWT semasa berkeadaan sudah, tetapi hanyut dalam kelalaian semasa hidup dilitupi kesenangan.

Justeru, apa pun juga musibah dan ujian yang sedang kita hadapi, sebenarnya ia seakan-akan Allah SWT mahu memberi amaran-Nya kepada kelalaian kita. Allah tidak mahu kita terus hanyut tanpa kawalan dan kesedaran.

Maka, Allah SWT datangkan sedikit musibah dan ujian yang sekali gus menjadi asbab untuk diri kita kembali insaf. Dengan kata lain, musibah dan ujian hidup adalah ‘cara Allah didik’ jiwa dan hati kita. Jika tidak kerana hadirnya musibah dan ujian berkemungkinan besar kita terus menjadikan kehidupan dunia sebagai ‘medan perjuangan’ yang mesti diagung-agungkan’.

Allah SWT memberitahu kita Dia akan menimpakan sesuatu azab di dunia supaya kita kembali kepada jalan yang betul dan sedar azab akhirat lebih besar sekiranya kita tetap kekal ‘berdegil’ tanpa mahu mengambil pengajaran daripada kesilapan yang dilakukan.

Hal itu sebagaimana terkandung dalam Surah As-Sajdah ayat 21 yang bermaksud, ‘Dan pasti Kami timpakan kepada mereka sebahagian siksa yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat) agar mereka kembali (ke jalan yang benar).’

Sewajarnya peringatan Allah SWT menerusi surah ini menjadi satu ingatan yang
kekal dalam hati kita semasa menjalani kehidupan duniawi. Yakinlah, apabila Allah SWT masih sayangkan kita, maka segala gaya dan cara hidup kita yang tersasar dari jalan yang benar, nescaya Allah tidak akan biarkannya begitu sahaja. Sebaliknya Allah SWT akan menyentakkan kita dengan mendatangkan pelbagai penderitaan sebagai pengajaran.

Misalnya, semasa kita sedang berada dalam keadaan fizikal tubuh badan sihat dan cergas, mungkin membuatkan kita lalai untuk menjaga kesihatan itu dengan baik. Kita ‘gondol’ apa sahaja menu makanan asalkan terpenuh kehendak nafsu.

Kita tidak ambil berat apa yang dipesankan Rasulullah SAW supaya sentiasa pelihara kesihatan sebelum datangnya penyakit. Renungkanlah kembali sabda Baginda agar kita ingat sangat-sangat tentang lima perkara sebelum hadirnya lima perkara. ‘Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit.

‘Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.’ (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Hadis ini dapat dianggap antara pesanan paling bermanfaat buat manusia. Kalau kita pergi ke klinik dan pusat kesihatan di era moden inipun kita belum pasti berjumpa seorang doktor yang mengambil kesempatan untuk menasihatkan pesakit tentang lima perkara ini khususnya ingat waktu sihat sebelum datangnya waktu sakit.

Namun Alhamdulillah syukur kerana Junjungan Mulia Rasulullah SAW lebih terkehadapan dalam memandu umatnya berkenaan panduan memanfaatkan kesihatan. Panduan yang Baginda berikan begitu ringkas, namun bernas.

Tetapi, sayang seribu kali sayang, pesanan tak ternilai itu hanya ‘terbungkus’ dalam kotak ingatan tanpa dimanfaatkannya. Maka. natijah abaikan pesanan Baginda itu menyebabkan umatnya selalu dihinggapi pelbagai penyakit.

Ketika diri sudah diuii Allah SWT dengan penyakit dan kesakitan, maka di saat itu juga kita mula disentak rasa insaf. Malah, doa penuh pengharapan dimunajatkan kepada Allah SWT untuk kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Justeru, dalam kita enak mengecapi kehidupan sihat sejahtera, senang-lenang dengan kemewahan harta benda mahupun keriuhan ahli keluarga, maka usah kita lupa segalanya hanya sementara sahaja dan Allah SWT secara mutlak mampu menarik apa sahaja yang kita miliki.

Kita sewajarnya ingat Allah SWT tidak sesekali membiarkan kita melibatkan diri selaku orang beriman tanpa perlu melepasi ujian-Nya. Dunia ini medan ujian dan penuh gangguan. Hanya yang benar-benar berkualiti imannya, segala pancaroba hidup dapat ditempuh dengan tenang.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: ‘Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.’

Maka dapat dikatakan bahawa kualiti iman seseorang itu pasti akan terserlah pada saat dia diuji. Ketika itu nampak berbeza antara kaca dengan permata. Waktu senang, bahagia, berharta, berkuasa, berdarjat, berpangkat dan berduit, kita boleh berkata apa sahaja. Kita boleh kata yang kita seorang positif, sabar, terbuka dan sebagainya.

Tetapi, apabila diri dihimpit gelombang dan badai ujian seperti musibah banjir, hilang pekerjaan, masalah kewangan, pemergian orang tersayang, difitnah dan sebagainya, barulah kita tahu langit itu tinggi atau rendah. Sebab itu tiada sebaik-baik tempat mengadu selain Allah SWT. Mengadulah pada Allah SWT ketika senang dan mudah untuk Allah SWT mendengar rintihan kita ketika susah.

Apa pun dugaan dan ujian hidup yang dilalui, seharusnya kita berdoa supaya Allah terus utuhkan kualiti iman kita. Hal ini kerana semasa dalam dugaan hidup, iman kita mudah koyak. Biar setinggi manapun ujian hidup yang datang, iman dan takwa usah kita rapuhkan.

Penulis Pensyarah Politeknik Muadzam Shah

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top