Peruntukan RM813.4 juta beri manfaat 53,395 PMKS di Sabah

Peruntukan RM813.4 juta beri manfaat 53,395 PMKS di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 53,395 perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di Sabah menerima manfaat daripada peruntukan berjumlah RM813.4 juta yang disediakan kerajaan pada tahun lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, dana pembiayaan itu disalurkan melalui pelbagai agensi di bawah kementerian antaranya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Di samping itu, menerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), sebanyak 41 program latihan dan bimbingan usahawan dilaksanakan di negeri ini sepanjang tahun lalu yang memberi manfaat kepada 1,585 usahawan.

Kata Ewon, beliau ingin melihat lebih ramai usahawan PMKS dan koperasi tampil mendapatkan pembiayaan daripada agensi-agensi di bawah kementeriannya.

“Jika di Sarawak kita boleh salurkan pembiayaan lebih RM1 bilion pada tahun lalu, di Sabah juga saya ingin lihat sasaran itu dapat dicapai pada tahun ini,” katanya semasa majlis malam apresiasi media Sabah, semalam

Ewon berkata, beliau akan memastikan segala inisiatif untuk membantu usahasan PMKS di wilayah Borneo akan diteruskan pada tahun ini.

“Di bawah fokus tambahan Dasar Pandang ke Timur Dalam Negara yang saya sedang jayakan di peringkat kementerian ini, kita akan laksanakan inisiatif-inisiatif yang bersesuaian dengan keperluan wilayah Borneo khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Itu sebabnya inisiatif-inisiatif seperti studio Tiktok Tekun dan hab-PMKS pelaksanaan PMKS tamu desa yang kita laksanakan. Malah, kita juga akan perbanyakkan pejabat cawangan agensi-agensi kementerian di Sabah dan Sarawak.

“Antara inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh KUSKOP khususnya untuk usahawan PMKS di Sabah adalah projek premis tamu desa, skim pembiayaan usahawan tamu dan geran usahawan bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah program peningkatan enterpris bumiputera (BEEP) Plus,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kementeriannya juga telah memperkenalkan program khas Ehsan@KUSKOP untuk membantu usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah.

Bagi program ini, Yayasan Bank Rakyat telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM3 juta untuk melaksanakan program ini bermula tahun ini di tiga daerah yang dikenalpasti mempunyai daftar kemiskinan tinggi iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud. – UTUSAN

Scroll to Top