Peruntukan RM8 juta bina Pusat Dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim

Peruntukan RM8 juta bina Pusat Dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM8 juta bagi membina dan menyiapkan Pusat Dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu disalurkan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan.

“Semoga dengan kelulusan ini dapat membantu dalam penyediaan infrastruktur yang kondusif dan selamat untuk kegunaan rakyat yang memerlukan di Kelantan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Peniaga Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Anwar berkata, perkara berkenaan sudah dipersembahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ketika pertemuan di Istana Negeri, hari ini.

“Sempena lawatan saya di Kelantan hari ini, saya sempat berbincang dengan Sultan Kelantan dan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berbubung beberapa pelaksanaan projek di Kelantan.

“Ada projek perlu disegerakan seperti projek tebatan banjir walaupun membabitkan kos yang tinggi,” katanya.

Terdahulu, Anwar menerima Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK).

Majlis penganugerahan oleh Sultan Kelantan itu diadakan di Istana Negeri di Kubang Kerian pada jam 2 petang sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan yang ke-55.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top