Perubahan angin punca penerjun payung TDM terkeluar garis pendaratan

Perubahan angin punca penerjun payung TDM terkeluar garis pendaratan

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang anggota tentera secara tidak sengaja mendarat di atas motosikal orang awam ketika menjalani latihan terjun payung di sekitar Tanjung Bidara, Melaka, kelmarin.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan hari ini berkata, kejadian berlaku susulan perubahan arah angin berhampiran zon pendaratan (ZG) semasa Latihan Penerjunan Bebas Eksesais Eagle Swift Siri 1/2025 di Airstrip, Kem Terendak, Melaka.

“Markas ini ingin mengesahkan kemalangan itu membabitkan seorang anggota TDM, Koperal Mohd Zahier Zainol Abidin berusia 29 tahun dari Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD (Para)).

“Ketika melaksanakan final approach menghampiri ZG, perubahan arah angin menyebabkan anggota terkeluar dari garis pendaratan yang ditetapkan dan terpaksa mendarat di kawasan berhampiran ZG.

“Mohd Zahier ialah penerjun keenam bagi sortie ketiga ketika latihan itu dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Mohd Zahier dan orang awam terbabit tidak mengalami kecederaan serius, namun penunggang motosikal berkenaan meninggalkan lokasi kejadian sebelum sempat diambil sebarang kenyataan daripadanya.

TDM berkata, pihaknya berharap tiada sebarang spekulasi berhubung kejadian itu selepas satu klip video memaparkan insiden berkenaan tular di TikTok.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 24 saat yang menunjukkan seorang anggota tentera mendarat di atas sebuah motosikal awam tular di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top