am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pihak yang mempertikai pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 kononnya sebelum ini terbabit dengan kes rasuah, satu tuduhan berat dan serius.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, mereka juga secara tidak langsung mempertikaikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong yang melantik Musa.
Beliau menegaskan, untuk rekod, Musa pada 2020 sudah dibebaskan daripada sebarang tuduhan rasuah oleh Peguam Negara, mahkamah serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Persoalan timbul sekarang ialah kepada siapa kita perlu rujuk untuk menilai sama ada tuduhan berat ini betul atau tidak? Sudah tentu rujukan utama kita ialah kepada keputusan dibuat oleh mahkamah, SPRM dan Peguam Negara.
“Ketiga-tiga entiti ini sudah melepaskan Musa daripada tuduhan rasuah. Agong, Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah sekarang ini langsung tidak terlibat dalam keputusan pembebasan Musa pada Jun 2020.
“Ketiga-tiga mereka belum pun memegang jawatan mereka pada waktu itu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Beliau yakin pembebasan Musa oleh ketiga-tiga entiti ini sudah menjadi asas utama kepada proses vetting atau tapisan ketat yang dilakukan oleh pihak Istana Negara sebelum mengumumkan perlantikannya sebagai TYT.
Abdul Rahman berkata, asas lain diambil kira sudah tentu khidmat Musa sebagai Ketua Menteri Sabah dan pencapaian pembangunan Sabah yang memberangsangkan ketika pentadbiran beliau.
“Jika ada pihak mempertikai perlantikan Musa kononnya ada tangan ghaib yang mempengaruhi keputusan mahkamah, SPRM dan Peguam Negara, saya cadangkan mereka merujuk kepada keputusan dibuat Independent Commission Against Corruption (ICAC), Hong Kong kerana sebelum ini, ada seorang Ahli Parlimen pembangkang membuat aduan rasuah sama terhadap Musa kepada ICAC.
“Tiada siapa berani menuduh ICAC dipengaruhi tangan ghaib kerana ICAC mempunyai kredibiliti yang sukar untuk dipertikai.
“ICAC sudah membuat siasatan yang terperinci (termasuk kerja-kerja siasatan dalam Malaysia) terhadap tuduhan ahli pembangkang itu dan akhirnya ICAC mendapati tidak ada kes yang boleh dituduh terhadap Musa. Itulah faktanya,” katanya.
Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara.
Pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah ke-14 itu dibuat mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Beliau menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.
© New Straits Times Press (M) Bhd