Pertembungan Faizal, Azrai Aizad jadi tumpuan

Pertembungan Faizal, Azrai Aizad jadi tumpuan

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua penyerang sensasi negara, Faizal Saari serta Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal akan melupakan seketika persahabatan mereka apabila kedua-duanya mempunyai misi untuk menjulang Piala TNB pada aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok.

Faizal yang beraksi untuk Pasukan Hoki Terengganu (THT) mempunyai misi untuk meraih gelaran treble selepas membantu pasukannya memenangi Piala Sumbangsih dan kejuaraan liga manakala Azrai yang menjadi tonggak utama TNB, tidak rela untuk melihat Piala TNB dirampas oleh THT.

Memburu gelaran treble kali kedua bersama THT selepas berjaya melakukannya pada musim 2023, Faizal berkata dia tidak mahu memikirkan gelaran anugerah penjaring terbanyak selepas mendahului carta penjaring dengan 23 gol ketika Azrai hanya kurang dua gol berbandingnya di tempat kedua.

“Kami mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan dan jika boleh, kami mahu menang semua perlawanan musim ini untuk menjadikannya lebih bermakna buat saya dan THT.

“Sama ada memenangi anugerah penjaring terbanyak atau tidak itu perkara kedua, yang penting mahu cipta kemenangan buat pasukan,” kata pemain berusia 34 tahun itu.

Jaringan tunggal penyerang negara berusia 34 tahun itu membantu THT mara ke pentas final selepas menundukkan Matador Hockey Club 1-0, pada aksi separuh akhir, semalam.

Sementara itu, Aizad yang menjadikan Faizal sebagai idolanya, tidak rela berdepan satu lagi kekecewaan selepas TNB gagal mempertahankan Piala Sumbangsih dan kejuaraan liga yang dirampas semula THT.

“Perkara paling penting untuk saya adalah memenangi Piala TNB. Tak guna kalau saya dinobatkan sebagai penjaring terbanyak tetapi kami kalah.

“Kalau boleh memang saya tak mahu lepaskan peluang terakhir ini. Sekurang-kurangnya selepas kami gagal mempertahankan dua piala, kami dapat bawa pulang satu piala,” katanya.

Azrai menyumbang dua gol ketika membantu TNB menewaskan Mabyank 7-4 pada aksi separuh akhir, semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top