Pertanian moden tingkat hasil optimum

Pertanian moden tingkat hasil optimum

Serdang: Sistem pertanian moden membantu meningkatkan hasil optimum dan kaedah kerja lebih efisien.

Pakar Hortikultur (Olerikultur) atau pengeluaran sayuran, Dr Juju Nakasha Jaafar berkata, pertanian moden menggunakan kawasan tanpa melihat tahap kesuburan tanah.

“Lebih banyak kawasan boleh diterokai untuk pertanian. Ada juga kaedah pertanian moden seperti hidroponik yang dapat menjimatkan penggunaan air.

“Justeru, aktiviti pertanian boleh dilakukan di kawasan yang berada jauh dari sumber air,” katanya kepada Harian Metro.

Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia itu berkata, penggunaan teknologi yang optimum dapat membantu petani dari pelbagai sudut.

“Dengan mengambil aspek keselamatan makanan, ia bukan saja perlu menilai penggunaan racun, tetapi menilai dari sudut penggunaan baja.

“Penggunaan teknologi seperti pemantau pintar dengan ‘sensor’ di mana terdapatnya sistem yang bertindak untuk memantau pemberian baja kepada tanaman mengikut kadar diperlukan saja.

“Selain itu, terdapat juga teknologi iaitu menggunakan dron untuk menyembur racun kepada tanaman dengan dos yang sekata dan selamat,” katanya.

Selain itu, katanya dengan penggunaan sistem itu sendiri juga dapat mengurangkan penggunaan racun seperti penggunaan teknik fertigasi berbanding konvensional.

“Teknik fertigasi menggunakan kurang racun berbanding konvensional disebabkan serangan perosak dan penyakit yang kurang berbanding konvensional.

“Begitu juga dengan sistem hidroponik dan menggunakan rumah kaca yang dapat mengurangkan tekanan persekitaran seperti serangga, hujan, angin kuat dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pertanian moden untuk komersial adalah kaedah lebih bagus kerana ia berskala lebih besar.

“Apabila melaksanakan pertanian berskala lebih besar, ia mempunyai lebih perkara yang perlu diambil kira seperti memerlukan tenaga kerja ramai, sumber air, baja yang lebih selain cabaran lain termasuk risiko serangan perosak dan penyakit yang sudah pasti memerlukan masa lebih untuk membuat pemantauan.

“Untuk situasi seperti ini, pertanian moden seperti penggunaan kaedah teknologi Internet Kebendaan (IoT) atau kecerdasan buatan (AI) adalah penting,” katanya.

Bagaimanapun Juju Nakasha berkata, pertanian moden tidak boleh dikatakan sebagai medium terbaik bagi menggantikan kaedah konvensional kerana ia bersifat subjektif dan bergantung kepada situasi.

“Sebagai contoh dalam situasi pertama iaitu kebun komuniti yang mana ahli-ahlinya adalah warga emas.

“Mereka melaksanakan aktiviti kebun bandar dengan tujuan mendapatkan bekalan sumber sayur-sayuran dan herba selamat dan menjadikan kebun komuniti itu sebagai plot sosial.

“Rata-rata bagi golongan ini lebih memilih untuk melaksanakan aktiviti kebun bandar secara konvensional kerana bagi mereka dapat melaksanakan aktiviti pertanian secara bersama-sama sambil bersenam dan berkomunikasi di antara satu sama lain dalam kelompok generasi sama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top