Perselisihan hubungan motif pembunuhan Nur Farah Kartini – KP Selangor

Perselisihan hubungan motif pembunuhan Nur Farah Kartini – KP Selangor

rnoraina@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Perselisihan hubungan dikenal pasti sebagai motif pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemukan di ladang sawit Kampung Seri Keledang, di sini, pada 15 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan siasatan kes itu sudah dilengkapkan dan suspek yang juga anggota polis berusia 26 tahun akan didakwa esok.

“Hasil siasatan, motif kita percaya ada kaitan dengan perselisihan perhubungan.

“Kita (polis) sudah selesai (siasatan) dan dapat arahan tuduh di Mahkamah Kuala Kubu Bharu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Forum Pencegahan Jenayah Daripada Perspektif Agama: Jenayah Tidak Mengira Warna Kulit di Masjid Bandar Utama, Batang Kali di sini, malam ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi dan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob.

Sementara itu, ditanya mengenai penemuan beberapa barangan peribadi dipercayai milik Nur Farah Kartini dalam operasi pencarian di Sungai Trolak, Hussein berkata, barang bukti berkenaan cukup untuk mendakwa suspek.

Bagaimanapun, katanya, polis masih menunggu laporan daripada pihak hospital mengenai punca kematian mangsa.

Nur Farah Kartini, 25, yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, di sini.

Mayatnya ditemukan kira-kira 6 petang, 15 Julai lalu dipercayai dibunuh individu dikenali dan susulan itu, polis menahan anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun.

Suspek kemudian ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd