amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL) mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) gagal menangani beberapa isu yang timbul membabitkan bazar Ramadan di ibu negara termasuk jualan semula tapak lot.
Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, semasa pihaknya mengelolakan tapak juadah di bazar berkenaan sejak puluhan tahun, isu itu tidak pernah berlaku.
“Semasa kita mengelolakan tapak juadah bazar Ramadan, kita tidak ada pun mendengar khabar tapak juadah ini dijual (semula). Puluhan tahun kita jaga bazar Ramadan, tak ada pun kita dengar tapak-tapak ini dijual.
“Tetapi hari ini apabila kita serah sepenuhnya kepada DBKL, saya dapat maklum balas, saya dapat WhatsApp dan saya dapat panggilan bahawa ada tapak-tapak sudah pun dijual kepada pihak yang kedua ataupun pihak ketiga. Ini yang saya dimaklumkan.
“Pada 23 Oktober tahun lalu, persatuan sudah pun menyerahkan hal kelolaan semua tapak bazar Ramadan kepada DBKL sendiri bagi menangani, mengatur, memilih ataupun memberi ruang kepada masyarakat penjaja yang berniaga untuk mengambil bahagian pada tahun 2025 untuk bazar Ramadan ini,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Rosli juga menunjukkan secara sekali imbas kepada pengamal media pesanan WhatsApp yang diterimanya berkenaan rundingan untuk menjual dan membeli tapak bazar Ramadan di Taman Tun Dr Ismail dan Jalan Raja Alang.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan dengan lebih lanjut perinciannya dan mahu pihak DBKL menangani masalah itu.
Selain itu, katanya, terkini jumlah keseluruhan bazar anjuran DBKL secara undian atau tawaran terus hanya dibuka 40 kawasan berbanding 65 kawasan sebelum ini.
“Ia mengakibatkan peluang terhad kepada hanya 2,116 penjaja saja dalam 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur. Umum maklum bazar sebelum ini yang sudah berjaya dikendalikan persatuan membabitkan 65 kawasan niaga dengan jumlah sumbangan ekonomi kepada 4,500 penjaja.
“Jurang 25 kawasan yang tidak dibuka bakal mengundang masalah besar kerana lebih 2,500 penjaja hilang peluang tapak mencari rezeki sempena Ramadan sehingga Syawal tidak lama lagi. Menambahkan masalah, broker-broker sudah aktif menjualkan tapak pada harga tinggi,” katanya.
Rosli berkata, pihaknya turut difahamkan bahawa warga asing juga dalam ‘standby mode’ sedang berusaha melobi, membeli tapak malah bersedia dengan harga paling tinggi supaya dapat berniaga di bazar sepanjang musim Ramadan ini.
Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan DBKL membatalkan lesen bazar Ramadan yang dikeluarkan sekiranya mendapati ada peniaga memindahkan lesen mereka kepada pihak lain.
Perdana Menteri menegaskan, isu ‘memindahkan’ lesen itu antara aspek tatakelola yang harus diberi penekanan dan memerlukan penguatkuasaan lebih baik.
Terdahulu, pada 23 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, DBKL akan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara bermula tahun ini berbanding diuruskan pihak penganjur sebelum ini.
Ini, katanya, bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan selain pengurusan lebih baik sekali gus inisiatif itu bagi menangani rungutan mengenai harga dikenakan bagi permohonan lesen perniagaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd