sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie memaklumkan dirinya berada dalam keadaan terbaik dan sentiasa memberi tumpuan penuh di dalam latihan meskipun terdapat beberapa isu yang membelenggunya kebelakangan ini.
Jelasnya, dirinya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu sehingga menjejaskan prestasinya dan disebabkan itu, dia terus mempertingkatkan latihannya di dalam gelanggang.
“Setiap hari di dalam latihan, saya tak fikir banyak dan saya percaya kepada barisan jurulatih kerana keputusan yang mereka buat itu adalah yang terbaik.
“Jadi pada saya, setiap hari saya terus bekerja keras dan melakukan perkara yang saya suka (berlatih dan bermain badminton),” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan untuk memisahkan Tang Jie dan pasangannya, Toh Ee Wei susulan keputusan yang diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Prestasi bulan lalu.
Hubungan mereka di dalam gelanggang mula kelihatan kurang baik pada beberapa kejohanan terakhir dan baru-baru ini, Ee Wei memadamkan semua gambar bersama Tang Jie di akaun Instagramnya, susulan kekalahan mereka di pusingan pertama Seluruh England 2025.
Untuk makluman, pemain berusia 27 tahun itu akan beraksi dalam dua kategori selepas ini apabila akan bergandingan bersama Wong Vin Sean dalam acara beregu lelaki, manakala dalam acara beregu campuran, dia akan digandingkan dengan Chan Wen Tse.
Sementara itu, Ee Wei akan disatukan dengan Loo Bing Kun dan mereka akan menyertai beberapa kejohanan seperti Terbuka Taiwan dari 6 hingga 11 Mei dan Terbuka Thailand (13 hingga 18 Mei).
© New Straits Times Press (M) Bhd