Perpaduan kunci utama keamanan, kemakmuran – Sultan Pahang

Perpaduan kunci utama keamanan, kemakmuran – Sultan Pahang

Kuantan: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah perpaduan adalah kunci utama kepada keamanan dan kemakmuran sejagat.

Baginda bertitah sehubungan itu, rakyat diminta supaya tidak membiarkan perbezaan fahaman dan kepentingan kecil memecahbelahkan masyarakat.

“Jangan biarkan perbezaan menjadi punca perpecahan, sebaliknya hormatilah antara satu sama lain dan carilah titik persamaan demi kesejahteraan bersama.

“Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan semua pihak agar perlu sentiasa bersangka baik.

“Janganlah kita terlalu cepat menilai seseorang atau sesuatu perkara dengan sikap negatif,” titah baginda semasa berangkat pada Program Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri di sini malam ini.

Berangkat sama Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan kerajaan supaya menyantuni dan prihatin terhadap rakyat di samping pembangkang memainkan peranan membina serta memberi cadangan yang baik.

“Semua pihak, kerajaan, pembangkang dan rakyat mesti meninggalkan sikap suka memfitnah, menabur kebencian dan menyebarkan berita tidak benar yang akan melemahkan perpaduan serta menghakis nilai moral dalam masyarakat,” titah baginda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top