Perolehan 18 pesawat FA-50M ikut jadual – Mohamed Khaled

Perolehan 18 pesawat FA-50M ikut jadual – Mohamed Khaled

Jinju, Korea Selatan: Tahap kemajuan pembinaan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M milik Malaysia mencapai 39 peratus ketika ini, dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka mula menerima kumpulan pertama pesawat pejuang itu pada 2026.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua pesawat pejuang ringan berkenaan dibina mengikut jadual dan perolehan pesawat pejuang ringan FA-50M itu adalah antara perancangan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

“Kita memang perlu menambah aset udara kerana ruang udara angkasa kita luas dan memerlukan angkatan udara yang berkesan dalam melaksanakan peranannya.

“Kita beli FA-50M pada tahun lepas dan saya datang sendiri ke kilang pembuatannya di Korea Selatan untuk melihat kemajuan pembinaan FA-50M, selain melihat kelebihan yang ada pada pesawat itu,” katanya selepas membuat lawatan di Korea Aerospace Industries (KAI) dan syarikat Hanwha Aerospace di sini.

Beliau berkata KAI dan Hanwha Aerospace adalah syarikat pengeluar aset ketenteraan yang bertanggungjawab dalam pembinaan 18 pesawat pejuang FA-50M milik Malaysia.

“Walaupun KAI bertanggungjawab dalam pembuatan FA-50M, namun enjin F404 yang digunakan dibina oleh syarikat Hanwha Aerospace,” katanya.

Kementerian Pertahanan (Mindef) dan syarikat aeroangkasa Korea Selatan itu menandatangani kontrak pada Mei tahun lepas bagi perolehan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M (Malaysia) dianggarkan bernilai RM4 bilion.

© New Straits Times Press (M) Bhd