am@hmetro.com.my
SIK: Pasangan suami isteri maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Felda Teloi Timur, Kampung Merbau Kudung, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 4.16 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sik yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Sam Khan a/l Prak Prom Keu, tiba di lokasi bersama lapan anggota tidak lama kemudian.
“Bilik Kawalan BBP Sik menerima panggilan kemalangan itu membabitkan Perodua Myvi yang dinaiki pasangan suami isteri terbabit dengan sebuah lori.
“Pasangan suami isteri berusia 20-an itu didapati tersepit dalam kenderaan, dan operasi menyelamat dilakukan menggunakan peralatan ‘hydraulic cutter’ untuk mengeluarkan mangsa.
“Kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Jamil berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd