Pernah mencuri tapi sudah bertaubat, apa perlu dilakukan agar tidak disoal kelak?

Pernah mencuri tapi sudah bertaubat, apa perlu dilakukan agar tidak disoal kelak?

SETIAP orang mempunyai kisah ‘gelap’ atau silam masing-masing hinggakan ada dalam kalangan kita yang mungkin pernah mencuri ketika diri diulit kejahilan suatu masa dulu.

Seiring dengan pertambahan usia, ia mematangkan diri dan membuatkan kita rasa serba salah dengan kesilapan lalu yang pernah dilakukan.

Mahu mengakui kesalahan, bimbang pula jika ada tindakan susulan diambil oleh pihak sana walaupun kejadian itu sudah lama berlaku dan pada masa sama, khuatir maruah diri turut tercalar.

Persoalannya, apakah yang perlu dilakukan supaya kita tidak akan disoal pada hari akhirak kelak atas kesalahan mencuri itu?

Merujuk kepada laman web ekemusykilan.penang.gov.my, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, mencuri ialah perbuatan maksiat yang dikategorikan sebagai dosa besar dalam Islam.

“Hukumannya kepada pelakunya tidak sekadar dijanjikan di akhirat nanti, tetapi juga diperuntukkan di dunia kerana mencuri merupakan perbuatan yang zalim.

“Dalam ayat ke-38 surah al-Maidah, disebut tentang hukuman potong tangan bagi mereka yang mencuri atau mengambil harta orang lain tanpa hak sebagai pembalasan dan juga sebagai peringatan agar orang lain tidak melakukan perbuatan serupa.

Kepada mereka yang pernah mencuri, pulangkan kembali atau gantikan semula apa yang telah diambil tanpa keizinan tuannya kerana syarak mewajibkan sedemikian. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Kepada mereka yang pernah mencuri, pulangkan kembali atau gantikan semula apa yang telah diambil tanpa keizinan tuannya kerana syarak mewajibkan sedemikian. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Begitu juga dalam hadis Rasulullah SAW, terdapat riwayat yang mengarahkan para sahabat mengenakan hukuman potong tangan kepada pencuri apabila disabitkan kesalahan,” katanya dipetik menerusi artikel bertajuk ‘Rakan mencuri sewaktu kecil dahulu’ yang disiarkan dalam portal soal jawab agama jabatan mufti berkenaan.

Kepada mereka yang pernah mencuri, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menasihatkan agar mereka memulangkan atau menggantikan semula apa yang telah diambil tanpa keizinan tuannya kerana syarak mewajibkan sedemikian.

“Barang yang dimaksudkan ialah barang asal atau nilaian barangan tersebut sekiranya empunyanya masih hidup.

“Bagaimanapun, andai pemiliknya sudah meninggal dunia, maka wajib barang tersebut diserahkan kepada warisnya,” katanya.

Ia sebagaimana dinyatakan oleh Imam An-Nawawi yang menukilkan fatwa Imam Al-Ghazali dalam kitab Al-Majmu’ yang menyatakan, seseorang perlu berbuat demikian sekiranya mereka memiliki suatu harta haram dan dia ingin bertaubat serta melepaskan dirinya daripada harta haram tersebut.

“Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa untuk mencarinya, maka pelaku tadi wajib menyalurkan harta tersebut untuk keperluan umat Islam yang bersifat umum seperti jambatan, ribat-ribat (tempat pengajian), masjid-masjid dan keperluan jalan raya Makkah serta seumpamanya yang boleh berkongsi bersama orang Islam.

“Dalam kitab Syarh Riyadh as-Solihin, harta dicuri itu juga boleh disedekahkan atas nama pemilik harta, ikhlas kerana ALLAH SWT dan diniatkan pahala kepada tuannya jika empunya barang atau warisnya sudah meninggal dunia atau tidak dijumpai,” terangnya.

Sekalipun pelaku yang mencuri itu sudah bertaubat, tetapi jelas Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, itu merupakan dosa dirinya dengan ALLAH SWT.

Sekalipun pelaku yang mencuri itu sudah bertaubat, tetapi itu merupakan dosa dirinya dengan ALLAH SWT, tetapi dosa pelaku dengan tuan punya barang tidak lagi selesai hingga dipulangkan kembali ‘harta’ tersebut. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Sekalipun pelaku yang mencuri itu sudah bertaubat, tetapi itu merupakan dosa dirinya dengan ALLAH SWT, tetapi dosa pelaku dengan tuan punya barang tidak lagi selesai hingga dipulangkan kembali ‘harta’ tersebut. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Namun begitu, dosa pelaku dengan tuan punya barang tidak lagi selesai hingga dipulangkan kembali ‘harta’ tersebut.

“Bahkan, taubat tidak akan diterima sehingga hak tuan punya barang tersebut telah diselesaikan.

“Ini bermakna, seseorang yang melakukan perbuatan mencuri perlu menanggung akibat dan dosa daripada perbuatan tersebut dengan mengaku kepada tuan empunya barang bahawa haknya telah diambil secara zalim,” katanya.

Bagaimanapun, sekiranya pelaku itu khuatir terhadap tindakan yang akan dilakukan terhadap dirinya setelah pengakuan dibuat, maka Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menyarankan agar mereka memulangkan barang atau melakukan gantian wang dengan menggunakan khidmat pos berserta surat permohonan maaf terhadap tuannya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Scroll to Top