Penyanyi legenda irama etnik kreatif, Noraniza Idris, mengakui masih dibayangi trauma untuk menganjurkan konsert berbayar selepas pengalaman pahit ditipu pihak penaja beberapa tahun lalu.
Ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Eh Raya 2025 yang berlangsung di Summit USJ, penyanyi berusia 57 tahun ini berkongsi detik hitam yang menyebabkan dirinya lebih berhati-hati dalam setiap perancangan terutamanya melibatkan penganjuran konsert.
“Saya pernah terkena… waktu itu pihak penaja nampak sungguh-sungguh mahu bekerjasama. Mereka serahkan cek sebagai tanda komitmen, tapi akhirnya cek itu tidak laku. Tipu semata-mata.
“Sampai sekarang saya masih ingat. Walaupun sudah lama berlaku, peristiwa itu buat saya takut untuk anjurkan konsert secara berbayar lagi. Trauma itu masih ada,” ujarnya.
Disebabkan pengalaman tersebut, Noraniza mengambil pendekatan berbeza tahun ini yang memilih untuk menganjurkan konsert sempena sambutan Aidilfitri secara percuma di lokasi sama, Summit USJ, pada 26 April ini.
“Konsert ini istimewa kerana saya mahu kembalikan kenangan zaman dulu. Suasana Raya yang meriah, penuh nilai budaya dan kekeluargaan. Bukan sekadar nyanyian, tapi kita bawakan elemen rumah terbuka dalam bentuk sketsa, tarian dan muzik,” jelasnya.
Tambahnya, idea menganjurkan konsert tanpa tiket muncul selepas beliau memindahkan operasi Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI) dari ibu kota ke Shah Alam awal tahun ini yang menerima pelbagai sokongan daripada ramai pihak untuk menjayakannya.
“Antara yang akan dipersembahkan termasuk lagu-lagu raya ikonik seperti Rewang Raya dan Halal Bihalal, diiringi lebih 60 penari dari akademi saya. Ini juga salah satu usaha untuk mendekatkan semula seni tradisional kepada masyarakat moden,” katanya.