Pernah alami kemurungan, Noraniza Idris hampir tamatkan riwayat sendiri

Pernah alami kemurungan, Noraniza Idris hampir tamatkan riwayat sendiri

PETALING JAYA: Penyanyi irama Malaysia, Noraniza Idris mendedahkan dia pernah mengalami fasa kemurungan di saat dirinya berasa tiada nilai untuk berada dalam industri seni.

Menurut Noraniza atau mesra disapa sebagai Ani, episod hitam itu membuatkan dirinya hampir menamatkan riwayat hidupnya sendiri kerana ketagih dengan pengambilan ubat secara berlebihan.

“Ketika kita berada dalam keadaan tidak stabil, jangan terus duduk dalam keadaan itu kerana perkara itu boleh buat kita berasa tiada nilai diri.

“Saya pernah rasa mahu bunuh diri kerana terlalu melayan perasaan saya. Saya boleh makan segenggam panadol kerana mahu tidur. Tetapi saya tidak boleh tidur kerana tetap memikirkannya.

“Perkara itu berlaku selama enam bulan kerana saya sudah mula rasa seronok dan boleh ketawa. Saya rasa seperti mental dan psiko kerana sudah tidak boleh dikawal,” katanya.

Noraniza berkongsi perkara itu ketika ditemu bual menerusi sebuah sesi audio siar, Confession Bilik Gelap yang dikendalikan oleh Sudirman Mohd Tahir di saluran Youtube, Syok.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Hati Kama itu dilihat tidak dapat menahan sebak selepas mengenang pengorbanan suaminya yang sentiasa bersamanya sewaktu berada dititik terendah.

“Apabila suami saya lihat perbuatan saya itu dia menangis. Dia peluk dan suruh saya banyakkan istighfar. Saya sebenarnya tidak suka tunjukkan kelemahan saya pada suami.

“Ketika saya dalam keadaan itu, dia sering mendoakan agar saya kuat dan tidak merosakkan diri dalam perkara duniawi. Kami sentiasa bersusah sama-sama,” jelasnya.

Tambah Ani, dia pernah membuat ujian psikologi malah dinasihatkan untuk bertemu pakar untuk mendapatkan bantuan susulan namun dirinya enggan berbuat demikian.

“Saya ada buat ujian online dan saya dinasihatkan untuk pergi ke psikiatrik untuk dapatkan nasihat. Tetapi saya tidak pergi sebab saya tidak mahu ada rekod itu,” ujarnya.-UTUSAN

Scroll to Top