Permohonan PFA tangguh kongres FAM gagal

Permohonan PFA tangguh kongres FAM gagal
Permohonan PFA tangguh kongres FAM gagal

Laporan Sinar Harian pada 5 Januari lalu.

MAHKAMAH Tinggi Kangar membatalkan permohonan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mendapatkan perintah injunksi menghalang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneruskan Kongres FAM yang dijadualkan pada 15 Februari ini.

Prosiding pendengaran permohonan perintah itu berlangsung di hadapan Hakim Dr Arik Sanusi Yeop Johari melalui aplikasi Zoom pada Jumaat.

Defendan, iaitu FAM dan Exco-exco FAM, diwakili oleh peguam Datuk Malik Imtiaz, Souren Ananthan, Yogan Sivam dan M Rajkumaran.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Haji Rahman, mengesahkan keputusan tersebut dalam satu kenyataan pada Jumaat dan Mahkamah juga memerintahkan PFA membayar kos kepada pihaknya.

Sementara itu, Presiden PFA, Zamri Ibrahim juga ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan menyatakan injunksi ditolak.

Menurutnya, bagi kes saman PFA terhadap FAM pula, Zamri berkata, hakim berkenaan memerintahkan kes saman tersebut dirujuk kepada timbang tara.

Permohonan mendapatkan perintah injunksi itu difailkan PFA selaku plaintif pada Disember 2024 menerusi Tetuan Zamri Ibrahim & Co dan menamakan 20 defendan antaranya termasuk FAM, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin; Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

PFA turut memfailkan saman terhadap FAM pada Disember 2024 mencabar keputusan penggantungan persatuan itu sebagai ahli gabungan badan induk berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Disember 2024.

Pada 31 Disember 2024, PFA telah memfailkan perintah injunksi di Mahkamah Tinggi Kangar bagi menghalang Kongres Pemilihan FAM.

Sebelum ini, FAM telah menggantung PFA daripada menjadi ahli gabungan susulan isu tunggakan gaji dan pampasan bekas pengarah bola sepak pasukan itu, Matt Holland.

Scroll to Top