Kuala Lumpur: Mana-mana individu, syarikat berskala kecil atau organisasi yang layak, boleh memohon permit khas bagi pembelian minyak diesel melebihi had, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan berkata permit khas itu hanya untuk kegunaan yang dibenarkan selain daripada tujuan jualan semula.
“Pemohon perlu mengemukakan surat pengesahan daripada agensi yang berkaitan dan membuat permohonan melalui Sistem Permit Khas melalui portal KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).
“Ini termasuklah bagi kegunaan pertanian dan penternakan dengan had kuantiti tidak melebihi 200 liter sehari bagi pembelian di stesen minyak,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata kemudahan itu telah terkandung dalam Garis Panduan Permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual dan Permit Khas yang ditadbir di bawah punca kuasa Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
Dalam pada itu, Armizan berkata bagi memastikan keberadaaan minyak masak peket bersubsidi sentiasa di pasaran, KPDN telah memperkenalkan pelaksanaan mekanisme mengikut zon iaitu pengedaran minyak masak bersubsidi mengikut negeri dan daerah.
“Ia bagi memastikan pengagihan bekalan minyak masak dapat dilaksanakan mengikut keperluan dan dapat dinikmati terus kepada pengguna.
“Pelaksanaan zon kini telah bermula di Sabah yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2024 manakala di Sarawak bermula pada 1 November 2024 dan zon bagi negeri di Semenanjung akan bermula pada 2025,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd