Perlu beri masa kepada skuad Sarjit

Perlu beri masa kepada skuad Sarjit

Kuala Lumpur: Legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi menyifatkan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada Jun depan sebagai medan terbaik untuk melihat pencapaian skuad hoki negara di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Sarjit Singh.

Beliau berkata kejohanan yang akan berlangsung di tanah air itu juga menjadi platform untuk menilai tahap skuad negara bersama tujuh pasukan lain, antaranya Perancis, Afrika Selatan, New Zealand dan Korea Selatan.

“Saya melihat Piala Negara-Negara ini satu platform yang begitu baik untuk menilai kemajuan pasukan hoki negara kerana sejak tahun lepas mereka sudah bermain dalam Liga Hoki Kebangsaan. Sekarang adalah masa yang sesuai untuk menilai mereka.

“Ini juga masanya untuk kita berkongsi momen dan pengalaman dengan negara-negara hebat lain, itu yang penting,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Kejohanan Terbuka Pickleball Kuala Lumpur yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di Pickel Sosial Club di sini hari ini.

Mirnawan ketika mengulas mengenai sasaran skuad negara yang diberi julukan Speedy Tigers berkata tidak perlu memberi tekanan dengan meletakkan sebarang sasaran peribadi.

Beliau bagaimanapun berkata skuad negara sewajarnya diberikan masa dalam usaha membina pasukan hoki yang mantap pada masa akan datang.

“Dalam hoki komuniti ini, kita nak lihatlah bagaimana kemajuan pasukan kebangsaan, namun kadang-kadang ia mengambil masa. Bagi saya, kena bagi masa lagi dan kemudian kita tengok di mana tahap kita untuk ditambah baik.

“… tapi semestinya kita mahu lihat satu keputusan yang positif,” katanya.

Piala Negara-Negara FIH yang akan berlangsung dari 15 hingga 21 Jun bakal disertai pasukan dari Perancis, Afrika Selatan, New Zealand, Korea Selatan, Pakistan, Jepun dan Wales.

Pasukan negara kini berada di Australia bagi mengharungi enam perlawanan persahabatan dalam siri jelajah Australia sebagai persiapan menghadapi cabaran Piala Negara-Negara FIH.

Speedy Tigers mempunyai beberapa kejohanan besar tahun ini termasuk Piala Asia di India dari 27 Ogos hingga 7 Sept, yang menawarkan slot automatik ke Piala Dunia, Piala Sultan Azlan Shah (22 hingga 29 Nov) dan Sukan Sea di Thailand (9 hingga 20 Dis).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top