Perlis Pi Digital beri pengetahuan digital terkini buat rakyat Perlis

Perlis Pi Digital beri pengetahuan digital terkini buat rakyat Perlis

KANGAR: Program Perlis Pi Digital yang berlangsung di Lake Resort Timah Tasoh di sini baru-baru ini berjaya mencapai matlamat dalam memberi pengetahuan digital terkini buat rakyat negeri ini.

Program tersebut dianjurkan Jabatan Seni Reka Gerak Kreatif Kolej Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dengan kerjasama DRB-HICOM Auto Solutions (DHAS).

Ia selaras dengan Pelan Digital Perlis 2021-2025  yang menekankan kepentingan melengkapkan masyarakat dengan kemahiran digital iaitu disifatkan cukup penting bagi menghadapi era moden.

Pensyarah kanan universiti tersebut merangkap penyelaras program, Nur Aniza Mohd Lazim berkata, seramai 41 pelajar semester dua dan tiga Jabatan Seni Reka Gerak Kreatif itu berjaya menyediakan kandungan seni digital yang bertepatan dengan industri dan bertaraf antrabangsa dalam masa hanya tiga bulan sempena program berkenaan.

Katanya, program tersebut juga berjaya menarik ramai pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya pelajar, pendidik, usahawan dan warga emas bagi meneroka dunia seni dan teknologi digital.

“Para peserta diketengahkan kemahiran ilustrasi digital, kandungan interaktif AR/VR, kandungan media digital, penceritaan digital lawatan Perlis 2025, diorama hologram, seni reka bentuk bunyi dan produksi podcast.

“Kita juga memperagakan projek pelajar membabitkan pameran menampilkan ilustrasi digital yang menarik, pengalaman AR interaktif dan penceritaan digital yang menghidupkan tema ‘Pesona Perlis’.

“Pelajar juga berkongsi pengetahuan dan minat mereka terhadap seni digital. Sesi ini menonjolkan keupayaan pelajar dan memupuk semangat pembelajaran bersama. Pelajar telah menjalankan demonstrasi ilustrasi digital serta teknik dan aplikasi yang tersesuaian.

“Selain itu, demontrasi langsung tetapan reka bentuk bunyi dan podcast memberikan kemahiran dan pengetahuan praktikal kepada peserta memperkasakan diri untuk meneroka bidang kreativiti digital yang baharu,” katanya.

Katanya, selain kerjasama erat DHAS, program itu juga mendapat kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Perlis sebagai rakan strategik.

“Kita berasa cukup teruja dengan sambutan yang memberansangkan ini selain kita melihat bagaimana semangat dan keinginan rakyat Perlis untuk merangkul literasi digital.

“Secara keseluruhannya program Perlis Pi Digital ini juga memberikan pelbagai pulangan faedah yang signifikan kepada pelajar UiTM. Ia antara lain meliputi aspek akademik, profesional dan peribadi.

“Program ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan komuniti malah turut memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang berkualiti, berkemahiran dan bersedia untuk memasuki pasaran kerja,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top