Semua masjid di negeri Perlis akan mula membenarkan solat berjemaah dengan merapatkan saf bermula dengan solat Subuh pada Sabtu ini, lapor BH Online.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkara itu mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Malah, ia juga berdasarkan peratusan tinggi vaksinasi lengkap dan peningkatan dos penggalak dimana situasi penularan Covid di negeri tersebut berada dalam keadaan terkawal.
“Kebenaran ini adalah kepada semua masjid di seluruh Perlis sahaja, manakala surau atau tempat solat umum atau awam kekal tidak dibuka (solat berjemaah merapatkan saf).
“Larangan ini termasuk kepada surau atau tempat solat di agensi, institusi, maahad tahfiz dan sebagainya melainkan dengan kebenaran khas daripada MAIPs dan melalui Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs),” titah baginda dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, jemaah perlu mematuhi beberapa peraturan seperti kadar jarak sejadah bagi mengelakkan berlakunya sentuhan selain prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Baginda turut bertitah, pematuhan terhadap SOP tetap dilaksanakan dan tidak dibenarkan sebarang kontak sentuhan fizikal seperti bersalaman.
“Jemaah yang menerima suntikan vaksin lengkap, sama ada dewasa, kanak-kanak atau warga emas dibenarkan hadir ke masjid.
“Namun, pegawai bertugas dan jemaah kekal dilarang hadir ke masjid sekiranya terdiri daripada golongan seperti berstatus PUI (individu di bawah siasatan), PUS (pesakit dalam pemantauan) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.
“Malah, golongan yang mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak, selesema dan sebagainya juga dilarang hadir ke masjid,” titah Tuanku Syed Faizuddin.
Sumber: BH Online (Aizat Sharif)