Perkukuh perdagangan digital Malaysia-China

Perkukuh perdagangan digital Malaysia-China

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: DagangAsia Network Holding Sdn Bhd, penyedia platform e-pasaran perniagaan ke perniagaan (B2B), DagangHalal.com komited untuk memperkukuh perdagangan digital rentas sempadan antara Malaysia dan China, menerusi Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024).

MCS 2024 yang diadakan pada 17 hingga 19 Disember ini sempena meraikan 50 tahun hubungan Malaysia-China dan akan memberi tumpuan kepada memajukan perdagangan, pelaburan serta kerjasama antara Malaysia, China dan Asean.

Ketua Pegawai Operasinya, Tony Er berkata, tawaran DagangHalal selaras dengan inisiatif Majlis Perniagaan Malaysia-China bagi menyokong matlamat utama memperkukuh perdagangan rentas sempadan kedua-dua negara.

Katanya, dengan bekerjasama rakan kongsi China yang dipercayai, pihaknya memudahkan eksport produk halal Malaysia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di China sambil menyediakan laluan berstruktur untuk pembekal China memasuki pasaran halal di negara ini.

“Platform kami menyokong sektor utama seperti makanan, barangan pengguna dan kosmetik, memastikan pematuhan kepada standard halal dan membina kepercayaan pengguna di kedua-dua pihak.

“Pendekatan ini meletakkan DagangHalal sebagai penghubung penting bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang ingin memasuki pasaran ini serta memperkukuh cita-cita Malaysia memacu eksport halal melalui keterhubungan digital dan inovasi,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, MCS 2024 adalah platform strategik untuk syarikat mempamerkan penyelesaian perdagangan digital dan memperkukuh hubungan dengan rakan kongsi berpotensi serta PMKS.

“Kami berhasrat mempromosikan produk bersijil Halal Malaysia dan memperkukuh hubungan perdagangan dua hala dengan China yang kekal sebagai pasaran penting untuk produk halal.

“Matlamat kami untuk memastikan kerjasama yang akan memperkasakan PMKS memasuki pasaran China dengan berkesan, memanfaatkan ekosistem DagangHalal dalam memenuhi piawaian halal dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Beliau berkata, ini selari dengan misi DagangHalal yang lebih luas bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi halal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top