OCDA turut merekrut ‘scolder’ yang perlu mematuhi kriteria unik seperti ibu bapa yang kuat membebel terhadap anak-anak mereka. Foto Agensi
NEW YORK – Sebuah syarikat menyediakan perkhidmatan ‘marah bos’ bagi pihak pekerja yang takut untuk bersuara.
OCDA diasaskan pada tahun ini oleh Calimar White yang juga merupakan seorang komediri dan aktor yang mempunyai hampir 280,000 pengikut di Instagram.
Perkhidmatan unik itu meraih perhatian ramai setelah pempengaruh dikenali sebagai The Feedski yang mempunyai kira-kira 800,000 pengikut berkongsi video tentang perkhidmatan marah bos di TikTok malah meraih lebih 9.4 juta view.
Menurut laman web rasmi OCDA, ia beroperasi sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan dikhaskan untuk menerima aduan staf bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja lebih baik.
“Objektif utama kami adalah untuk memastikan aduan diterima di samping memupuk budaya hormat-menghormati di tempat kerja,” ujar OCDA lagi.
Menariknya, ejen atau scolder yang akan memarahi bos atau rakan sekerja akan berkunjung ke tempat kerja klien mereka untuk meluahkan rasa marah atau tidak puas hati mengikut aduan diterima.
Ejen itu juga perlu mengikut ‘skrip ditetapkan’ dan tidak perlu cakap berlapik untuk menjaga hati mana-mana pihak ketika melampiaskan kemarahan klien.
OCDA turut menyediakan perkhidmatan ‘marah bos’ menerusi panggilan telefon.
Bayaran perkhidmatan itu bagaimanapun tidak didedahkan dan rakaman setiap sesi yang sudah selesai dikongsi menerusi platform YouTube yang kini mempunyai lebih 80,000 pengikut.
Perkhidmatan itu turut mendapat pelbagai reaksi warganet yang berharap ia diperluaskan ke negara lain. – Agensi