Perkampungan persaraan dibangunkan di Langkawi

Perkampungan persaraan dibangunkan di Langkawi

ALOR SETAR: Bina Darulaman Berhad (BDB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Aman Lagenda Sdn. Bhd. berkolaborasi dengan Seterra Holdings Sdn. Bhd. membangunkan perkampungan persaraan antarabangsa di Asia Tenggara.

Aman Lagenda dan Seterra Holdings melancarkan perkampungan berinspirasikan islamik pertama Asia Tenggara, Aman Seterra Sanctuary itu yang akan dibangunkan di kawasan seluas lebih lima hektar di Temoyong, Langkawi bermula tahun depan. 

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 2028 selari dengan perkembangan ekonomi perak iaitu sektor ekonomi baharu berskala global.

“Pembangunan projek ini dijangka menghasilkan pendapatan melebihi RM40.13 trillion menjelang 2029. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, negara melepasi ambang ‘Masyarakat Menua’ pada 2024 sekali gus mempercepat permintaan untuk perkhidmatan khusus bagi warga emas.

“Aman Seterra Sanctuary bakal menjadi Perkampungan Persaraan yang pertama seumpamanya di Malaysia memenuhi keperluan dari seluruh dunia dan pada masa yang sama turut menyediakan perkhidmatan kepada pesara dan juga warga emas tempatan dengan mengintegrasikan konsep kediaman bebas, bantuan penjagaan, dan penjagaan jangka panjang,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Perjanjian Usahasama Merangkap Perjanjian Pemegang Saham Antara Aman Lagenda Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Raja Shahreen dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seterra, Rashidi Yahaya berlangsung di Menara BDB di sini hari ini. 

Ketika ditanya kenapa Langkawi menjadi destinasi projek berkenaan, katanya, pulau tersebut yang kaya dengan alam sekitar bergelar ‘tempat yang tidak disentuh’ ideal untuk penempatan seumpama itu. 

Raja Shahreen menambah, projek berkenaan akan turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat termasuk peluang pekerjaan dalam sektor kesihatan, hospitaliti, pembinaan dan peruncitan. 

Untuk rekod, pembangunan Aman Seterra Sanctuary akan menyediakan fasiliti dan infrastruktur yang lengkap serta memenuhi kehendak serta keperluan yang diperlukan oleh para pesara dan warga emas. 

Itu termasuk sebanyak 780 unit kediaman pangsapuri serta suite dan townhouse yang mesra warga emas selain memfokuskan kepada kesejahteraan menyeluruh dengan pelbagai fasiliti termasuk kesihatan, ruang sosial, ruang solat dan hiburan serta rekreasi. – UTUSAN

Scroll to Top