ANDAI album berjudul Perjalanan (2025) terbit hampir 30 tahun lalu, Rosmah S. Sengari sudah memiliki deretan lagu hits yang boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan karya penyanyi lain zaman itu.
Bagaimanapun, tiada siapa mampu menduga liku-liku perjalanan muzik wanita mesra dipanggil Soma itu, sehinggalah album digital dalam format extended-play (EP) sentuhan komposer lagenda, Allahyarham Datuk S. Atan dan Belle Fatah baru diperdengarkan sekarang.
Kita semua tahu bagaimana S. Atan sebagai antara individu penting dalam membangunkan industri muzik tempatan, sudah mencipta ribuan lagu evergreen untuk nama besar seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Tan Sri S. M. Salim, Allahyarham Datuk Seri Sharifah Aini dan ramai lagi.
Bunyi-bunyian dalam lagu mereka itulah terpancar di dalam Perjalanan yang menggamit nostalgia, memori dan lagu-lagu zaman silam.
Naib Juara Bintang Nostalgia Klasik Nasional RTM 2009 membuka album ini berawal lagu berjudul Perjalanan, sebagai gambaran keseluruhan kembara dan perjuangannya bergelar penyanyi.
Melodinya bergerak dalam ilham balada tipikal 30 tahun lalu, dengan penggunaan instrumen muzik yang kedengaran primitif seperti dominasi petikan gitar dan beat drum pada awal dan akhir lagu.
Tetapi, saya suka melodinya yang mengikat dengan sekali pendengaran khususnya di bahagian korus “Kini ku berlari, Tidak ku peduli, Dunia ku kini penuh erti.”
Memori Bulan Disember dan Bebaskan Aku, dua karya mengembalikan zaman retro, pop yeh yeh dan rock and roll oleh kugiran tempatan yang pernah menguasai pasaran muzik negara dahulu.
Kehadiran Juara Bintang Klasik RTM 2010, mewakili Selangor itu pula seakan-akan mengembalikan getaran Sharifah Aini, Ezlynn (Pening) dan Sanisah Huri seperti Siapa Gerangan, Semenjak Berjauhan dan Si Baju Hijau.
Sebenarnya, irama seperti ini sudah mati atau sukar meneruskan kelangsungannya dalam dominasi pop moden. Ada pun kumpulan yang masih bertahan menggerakkan aliran itu ialah Kugiran Masdo dengan lagu hitsnya Dinda, Janji Manis, Bunga dan Pujaanku.
Standard pop Soma naik selangkah menerusi balada, Curahan di bawah aturan muzik Belle yang sedikit baharu. Namun, dia masih terperangkap di era 90-an dan 2000-an dengan membawa persembahan lagu yang biasa untuk sasaran pendengar Melayu.
Saya faham, lagu ini sudah pernah dirakam pada 1996, namun tidak dapat diteruskan sehinggalah pendengar hari ini baru mendapat akses menilai sejauh mana kualitinya. Pun begitu, saya percaya, Curahan punya peluang sebagai taruhan dalam perniagaan muzik pop yang boleh diterima umum.
Soma menutup albumnya dengan Dugaan, satu infusi balada dan slow rock memaparkan bagaimana dia keluar daripada ruang pop yang selesa. Cuma, hanya muziknya sedikit berkembang, namun kurang sebatian dengan vokal mungkin memerlukan latihan lebih intensif.
Melodi album ini cukup kuat dan setiap alurnya sarat dengan jiwa Melayu berkitar dalam era 30 tahun lalu. Namun, jurang standard muziknya masih jauh daripada kehendak industri muzik hari ini.
Untuk karya baharunya akan datang, Soma perlu mengimbangi produknya dengan bunyi baharu dan tidak lagi bergantung kepada instrumen primitif seperti yang terbukti dalam kelima-lima lagunya.
Namun, Perjalanan berjaya membawa saya dalam dimensi masa lalu yang penuh nostalgia. Sebagai penyanyi yang lewat tampil dengan karya aslinya, maka, tidak adil untuk saya membandingkan corak dan permintaan muzik sekarang dengan Perjalanan.
Perjalanan adalah penghormatan dan tinggalan berharga S. Atan sebelum menghadap Ilahi. Sebagai orang lama dalam dunia gubahan lagu, maka, beliau berfikir mengikut cara sendiri.
Kos penerbitan RM150,000 tidak akan dapat menandingi sentuhan keemasan S. Atan yang berjaya melahirkan barisan penyanyi berkualiti.