Kuala Lumpur: Perintah larangan bersuara (gag order) tidak akan memprejudiskan Datuk Seri Najib Razak daripada membentangkan kesnya di mahkamah, sebaliknya bertujuan menghalang komen prejudis dan hak perbicaraan yang adil.
Peguam Cara Negara Datuk Suzana Atan berkata demikan dalam afidavit yang diikrarkan bagi pihak responden ketiga (Peguam Negara) bagi menjawab afidavit Najib yang membantah permohonan perintah larangan bersuara untuk melarang sesiapa sahaja daripada membincangkan isu berkaitan kes permohonan semakan bekas Perdana Menteri itu.
Semakan kehakiman itu berhubung dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen tambahan yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah.
Dalam afidavit itu yang difailkan hari ini, Suzana berkata, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat laporan media, kenyataan awam, forum yang disertai oleh pelbagai golongan lapisan masyarakat termasuk peguam pemohon (Najib) sendiri yang membincangkan perkara subjek dalam permohonan semakan kehakiman itu.
“Justeru, perkara ini membuktikan bahawa perintah larangan bersuara ini perlu bagi memastikan pendengaran kes semakan ini dapat dijalankan tanpa sebarang prejudis.
“Saya menegaskan bahawa perbincangan yang negatif, andaian yang mengelirukan dan bersifat fitnah secara terbuka dalam kalangan masyarakat boleh menggugat kepercayaan awam dan mencetuskan kemudaratan terhadap institusi diraja,” katanya.
Suzana berkata perbincangan media dan awam yang berterusan mengenai isu berkenaan boleh mencetuskan risiko prejudis yang serius terhadap prosiding undang-undang yang sedang berjalan.
“Oleh itu, adalah wajar bagi mahkamah ini untuk mempertimbangkan langkah perlindungan bagi memastikan keadilan ditegakkan tanpa gangguan yang berpunca daripada perbincangan awam yang tidak terkawal,” katanya sambil menambah perintah larangan bersuara ditujukan kepada semua pihak termasuk responden-responden daripada membincangkan perkara subjek dalam semakan kehakiman ini di luar prosiding mahkamah.
Pada 20 Jan lalu, Jabatan Peguam Negara memfailkan permohonan perintah larangan bersuara atas alasan kes berkenaan menyentuh isu sensitif dan Mahkamah Tinggi menetapkan 24 Feb ini untuk pengurusan kes itu secara e-Review.
Pada 6 Jan lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 telah mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran mengenai meritnya selepas membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman.
Najib, 71, memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan dokumen tambahan itu yang bertarikh 29 Jan tahun lepas.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah jika dokumen tambahan itu wujud maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 3 Julai 2024, Hakim Datuk Amarjeet Singh yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman memutuskan bahawa empat afidavit menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin semata-mata dan tidak boleh diterima sebagai bukti dalam mahkamah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Lembaga Pengampunan bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd