Perhimpunan warga asing diserbu, 69 PATI ditahan

Perhimpunan warga asing diserbu, 69 PATI ditahan

am@hmetro.com.my

Nilai: Keseronokan warga asing berhimpun sempena perayaan Krismas di dewan sebuah hotel di sini, malam Sabtu, terbantut apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, JIM Negeri Sembilan berjaya menahan 69 daripada 253 warga asing yang datang termasuk dari sekitar Lembah Klang bagi menyambut acara berkenaan.

Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, Operasi Penguatkuasaan Bersepadu selama dua jam itu turut dibantu polis daripada Kontinjen Negeri Sembilan.

“Operasi dijalankan di sebuah dewan bankuet hotel bertaraf dua bintang di Bandar Nilai. Dalam operasi ini seramai 253 warga asing diperiksa.

“Hasilnya seramai 69 pendatang tanpa izin (PATI) terdiri daripada 55 lelaki, dan 14 wanita ditahan termasuk empat yang dipercayai dalang utama perhimpunan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan mereka bekerja di sekitar Bandar Nilai dan ada yang datang dengan bas sewa khas dari Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

“Ketika serbuan dilakukan, PATI tidak dapat meloloskan diri kerana kesemua pintu sudah dikepung pasukan operasi.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan- Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Jelasnya lagi, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Tambah beliau lagi, operasi dilaksanakan berdasarkan aduan, maklumat orang awam dan risikan selama seminggu berdasarkan risalah yang diedarkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top