Perhimpunan Agung UMNO 2025 dari 20 hingga 23 Ogos

Perhimpunan Agung UMNO 2025 dari 20 hingga 23 Ogos

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini menetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 dari 20 hingga 23 Ogos depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sebentar tadi.

“Bagi Persidangan UMNO cawangan pula, akan diadakan pada 7 April hingga 25 Mei depan.

“Sementara itu bagi Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian akan berlangsung pada 9 Jun hingga 27 Julai 2025,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Umno di sini berkata, tarikh-tarikh terbabit tertakluk kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, Umno memandang serius perkembangan semasa yang membabitkan isu 3R menyentuh sensitiviti keagamaan, perkauman dan Institusi Raja-Raja Melayu.

“Umno menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia kekal mempertahankan prinsip Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan sebagai asas penting yang membina negara bangsa sejak merdeka.

“Keindukan Islam dan Melayu-Bumiputera dalam sifat kemajmukan Malaysia mesti terus dipelihara,” katanya.

Tegas beliau, Umno tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempertikai, meremeh ataupun mencabar asas penting yang menjadi teras kestabilan negara terutamanya kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, keistimewaan Melayu-Bumiputera, tanpa sesekali menafikan hak kebebasan beragama dan berbudaya yang dijamin Perlembagaan.

Tambah beliau lagi, Umno akan menggerakkan jentera dari seluruh Malaysia untuk membantu parti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak.

TAMAT

From: Lokman

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top