SUNGAI SIPUT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menafikan dakwaan seorang individu di TikTok bahawa tiada tindakan diambil terhadap aduan serangan gajah liar di Kampung Orang Asli Talang, Pos Perwor Sabtu lalu.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, dakwaan itu sama sekali tidak benar kerana kakitangan Perhilitan Sungai Siput Utara telah pun ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berkaitan insiden tersebut.
“Kejadian sekawanan gajah liar menyerang rumah penduduk dan tanaman itu berlaku pada Sabtu malam dan kita menerima laporan kes pada awal pagi Ahad.
“Untuk sampai ke lokasi kejadian berhampiran Hutan Simpan Piah itu mengambil masa lebih sejam berikutan faktor demografi dan keadaan malam yang gelap.
“Apapun, dalam kes ini, kita perlu mengutamakan keselamatan kakitangan. Dakwaan yang mengatakan tiada tindakan diambil adalah tidak benar kerana kita telah hantar mereka ke sana untuk pemantauan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video tular di aplikasi TikTok yang mendakwa Perhilitan tidak menjawab panggilan yang dibuat selepas sebuah rumah penduduk Orang Asli di kampung itu musnah akibat diserang sekawanan gajah liar.
Difahamkan, serangan tersebut menyebabkan pemilik rumah terpaksa menanggung kerugian dianggarkan sebanyak RM20,000.
Dalam pada itu beliau berkata, tangkapan terhadap kumpulan gajah liar itu akan dilakukan dalam masa terdekat. – UTUSAN