Perhambaan moden: Sindiket tipu dalam talian

Perhambaan moden: Sindiket tipu dalam talian

JAKARTA – Penjual buah-buahan, Budi bukan nama sebenar cuba mencari sumber pendapatan yang lebih baik apabila dia mendaftar untuk bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) di Kemboja.

Tetapi, dia terperangkap di sebuah premis yang dikawal ketat dan dipasang kawat berduri malah diarah melakukan penipuan dalam talian.

“Apabila saya tiba di sana, saya disuruh membaca skrip. Rupa-rupanya kami dipaksa menjadi scammer,” katanya sambil mendedahkan dia ‘dikerah’ bekerja selama 14 jam setiap hari.

Selepas enam minggu, Budi, 26, hanya menerima AS$390 (RM1,735) daripada AS$800 (RM3,544) yang dijanjikan pada awalnya.

Sejak beberapa tahun lalu, ribuan warga Indonesia telah terpedaya dengan tawaran kerja lebih lumayan di luar negara yang akhirnya terjerumus ke dalam sindiket penipuan transnasional.

Sebahagiannya berjaya diselamatkan dan dihantar pulang ke tanah air, namun masih ramai terperangkap dan tiada jalan keluar.

Kisah sama dikongsikan penjaja makanan, Nanda yang mendakwa suaminya sanggup terbang ke Thailand pada 2022 untuk meraih pendapatan 20 juta rupiah (RM5,559) sebulan yang ditawarkan sebuah syarikat IT atas saranan seorang rakan.

Sejurus tiba di Bangkok, seorang ejen membawanya bersama lima yang lain melintasi sempadan ke bandar Hpa Lu di Myanmar di mana dia dipaksa bekerja sebagai scammer.

Lelaki itu dipaksa bekerja syif selama lebih 15 jam dan dimaki hamun jika tertidur sewaktu bekerja.

Gambar hiasan

Gambar hiasan

“Dia mengadu turut dipukul dan dihukum renjatan elektrik. Tetapi, suami saya enggan menceritakan secara lebih terperinci kerana tidak mahu saya bimbang dengan keadaannya,” ujar wanita berusia 46 tahun itu.

Menurut Nanda, suaminya telah ‘dijual’ kepada satu lagi sindiket penipuan dalam talian pada awal tahun lalu.

Seperti Budi, suami Nanda juga mempunyai had masa dibenarkan menggunakan telefon bimbit malah log panggilan dan mesej akan disaring pengendali scammer berkenaan.

Tetapi, mereka cuba berkomunikasi secara rahsia dengan menggunakan kod perkataan ringkas yang turut menjadi petunjuk kepada aktivis dan pihak berkuasa untuk menjejaki lokasi sindiket tersebut untuk operasi menyelamat.

‘HIDUP DALAM NERAKA’

Antara 2020 dan September 2024, Jakarta telah membawa pulang lebih 4,700 rakyat mereka yang terperangkap dalam operasi penipuan dalam talian dari negara di rantau Asia Tenggara seperti Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam.

Data Kementerian Luar mendapati kira-kira 90 warga mereka masih terkandas dalam sindiket tersebut di kawasan sekitar Myawaddy di Yangon.

“Kami percaya jumlah sebenar jauh lebih tinggi,” kata Pengarah Perlindungan Warga di kementerian itu, Judha Nugraha.

Seorang suri rumah resah kerana suaminya masih gagal diselamatkan pihak berkuasa.

“Kerja itu sangat tidak berperikemanusiaan kerana suami saya dikerah selama 16 hingga 20 jam sehari tanpa dibayar gaji selain sering diugut dan dihukum secara fizikal,” rintih wanita berusia 40 tahun itu lagi.

Tembok konkrit dan pagar kawat berduri di sekitar premis yang menjadi tempat operasi sindiket penipuan dalam talian tersebut.

Tembok konkrit dan pagar kawat berduri di sekitar premis yang menjadi tempat operasi sindiket penipuan dalam talian tersebut.

Judha menjelaskan, Jakarta hanya boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan tidak mempunyai bidang kuasa untuk melakukan tangkapan di luar negara.

“Terdapat banyak syarat yang akan menjejaskan proses pengendalian kes tersebut,” jelasnya merujuk kepada sindiket di Myawaddy di mana usaha menyelamat menjadi bertambah sukar kerana konflik di kawasan berkenaan.

Sementara itu, pihak berkuasa Kemboja memaklumkan mereka akan mengambil tindakan terhadap sindiket tersebut di samping turut menggesa Indonesia dan negara lain supaya melancarkan kempen kesedaran awam bagi memberi peringatan kepada rakyat tentang modus operandi sindiket berkenaan.

“Usah tunggu hingga masalah timbul dan kemudiannya saling menuding jari. Ia bukanlah jalan penyelesaian kepada permasalahan itu,” kata Naib Pengerusi Jawatankuasa Antipemerdagangan Manusia di Phnom Penh, Chou Bun Eng.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan mereka yang terperangkap sindiket penipuan dalam talian itu seperti ‘hidup di dalam neraka’.

Kebanyakan mangsa tiada pilihan lain kecuali terus bertahan untuk kekal hidup.

“Ia adalah satu bentuk perhambaan moden. Mangsa direkrut dan seterusnya diperdaya untuk bekerja sebagai scammer tanpa kerelaan mereka,” ujar jurucakap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Beranda Migran, Hanindha Kristy.

Seperti Budi, dia bernasib baik dapat meloloskan diri selepas dipindahkan ke satu lagi sindiket di bandar sempadan Poipet di Kemboja.

Dia berasa amat bersyukur kerana dapat kembali semula ke tanah air dan kini bekerja di ladang kelapa sawit.

“Saya terus dihantui rasa bersalah atas penipuan yang dilakukan terhadap ramai mangsa. Ia adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan hingga ke saat ini,” menurutnya. – AFP

Scroll to Top