Perawat perubatan Islam tak mengaku pukul isteri

Perawat perubatan Islam tak mengaku pukul isteri

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Perawat sebuah pusat perubatan Islam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan isterinya pada minggu lalu.

Tertuduh, Fahmi Akmal Ahmad, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 36 tahun di sebuah rumah di Jalan Kenari 4, Taman Scientex, Pasir Gudang di sini, pada jam 10 pagi, 2 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Tertuduh kemudiannya memohon jumlah jaminan yang rendah dengan alasan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dan menetapkan 7 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat isteri lelaki berkenaan pada hari kejadian sebelum polis membuat tangkapan pada hari yang sama di rumah mereka.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan menyepak isterinya yang juga seorang guru itu di badan dan kaki serta menumbuk di kepala.

“Suami itu juga mengambil pisau dan mengacu pada isterinya sambil mengugut mahu menikam isterinya.

“Kejadian itu dipercayai berpunca kerana suaminya marah terhadap isterinya yang enggan memberikan wang untuk membeli barangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top