Perarakan kemerdekaan STB penuh ikonik, seolah-olah seperti di Dataran Putrajaya

Perarakan kemerdekaan STB penuh ikonik, seolah-olah seperti di Dataran Putrajaya

ARAU: Suasana malam di jalan besar berhadapan Sekolah Tengku Budriah (STB) bertukar meriah dengan orang ramai memenuhi bahu jalan menyaksikan lebih 1,000 murid bersama ibu bapa dan guru mengikuti perarakan sempena penutupan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah berkenaan di sini, semalam.

Suasana perarakan seperti di ‘Dataran Putrajaya’ membabitkan 30 kontinjen dari murid pra sekolah sehingga tahun enam termasuk kanak-kanak Program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI) itu segak berpakaian bertemakan Kesultanan Melayu, Adiwira, kerjaya dan warna Jalur Gemilang.

Murid-murid yang menyertai perarakan bersama guru dan ibu bapa itu berjalan sehingga satu kilometer dengan menggayakan pakaian penuh kreativiti selain ada yang memperagakan pakaian pasukan keselamatan seperti anggota tentera dan pelbagai lagi

Aktiviti perarakan yang berlangsung cukup meriah bermula pukul 8.30 malam sehingga 11.30 malam itu turut diserikan dengan perarakan basikal berhias, persembahan murid-murid sebelum ditutup dengan pertunjukan bunga api yang mengamatkan suasana malam di sekolah berusia 130 tahun itu.

Majlis yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Mazli Hamdan itu dihadiri Guru Besar STB, Nor Zaitun Ibrahim dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Saifol Zairy Abd Rahim.

Perarakan kemerdekaan STB penuh ikonik, seolah-olah seperti di Dataran Putrajaya
LEBIH 1,000 murid Sekolah Tengku Budriah (STB) bersama guru dan ibu bapa menyertai perarakan sempena penutupan Bulan Kebangsaan sekolah berkenaan yang berlangsung penuh meriah di STB, Arau, Perlis, semalam.- UTUSAN IZLIZAN OTHMAN

Perarakan yang diadakan pada waktu malam itu juga disifatkan penuh ikonik sekali gus menampilkan kelainan dan keunikan tersendiri sempena penutupan sambutan bulan kebangsaan peringkat sekolah tersebut.

Nor Zaitun berkata, guru-guru dan ibu bapa menunjukkan komitmen yang cukup tinggi selain kerjasama dalam menjayakan perarakan itu.

Katanya, sepanjang bulan kebangsaan, pihak sekolah juga telah mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan sambutan kemerdekaan ini.

Ujarnya, setiap program dan aktiviti yang diadakan itu menerapkan nilai-nilai kemerdekaan serta menonjolkan taat setia dan menghargai negara tercinta ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Guru-guru dan Ibu bapa selain murid-murid sekolah yang telah menunjukkan komitmen cukup sangat tinggi dalam menjayakan program ini.

“Insya-Allah ada rezeki kita akan mengadakan lagi aktiviti seperti ini pada masa depan dengan suasana lebih meriah dan unik,” katanya.-UTUSAN