Peranti boleh lipat inovasi baharu OPPO, Find N2, curi tumpuan

Peranti boleh lipat inovasi baharu OPPO, Find N2, curi tumpuan

JENAMA peranti teknologi terkemuka, OPPO melancarkan acara tahunannya, Hari INNO 2022 dengan tema ‘Empowering A Better Future’ pada 14 Disember lalu.

Menerusi acara itu, pelbagai inovasi serta teknologi baharu diperkenalkan OPPO, membuktikan komitmennya dalam menerajui empat inisiatif pintar merangkumi hiburan, produktiviti, kesihatan dan pembelajaran pintar.

Ia sejajar dengan matlamat utama syarikat itu untuk berkongsi lebih banyak manfaat daripada inovasi teknologi yang mapan demi membina masa depan inklusif dan positif untuk semua.

OPPO Find N2

Peranti boleh lipat inovasi baharu OPPO, Find N2, curi tumpuan

Hari INNO 2022 menyaksikan kemunculan telefon pintar boleh lipat generasi seterusnya iaitu OPPO Find N2.

Tarikan utama pada telefon pintar ini adalah rekaannya yang teliti sehingga berjaya mengurangkan kesan lipatan pada setiap sudut. 

Jika dibandingkan dengan model Find N, kesan lipatan di bahagian tengah paparan dalam Find N2 dapat dikurangkan secara ketara sehingga 67 peratus menjadikan ia kekal tidak kelihatan pada setiap sudut.

Kesan lekukan yang berjaya dikurangkan itu mampu menawarkan pengalaman tontonan lebih baik kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.

Semua ini dapat direalisasikan dengan gabungan pelbagai bahan baharu pada paparan utama serta struktur engsel Flexion generasi kedua, termasuk gentian karbon dan aloi berkepadatan tinggi yang digunakan dalam industri penerbangan.

OPPO juga mempelopori teknik kejuruteraan boleh lipat bagi mengurangkan bilangan elemen yang diperlukan. Kali ini, engsel OPPO Find N2 hanya menggunakan 100 komponen sahaja, menjadikan ia 38 lebih sedikit berbanding generasi sebelumnya.

Ini bermakna, OPPO Find N2 mempunyai berat 42g kurang daripada Find N asal, tanpa menjejaskan kualiti.

Engsel Flexion generasi kedua yang direka dengan spring khusus ini turut memastikan tiada sebarang ruang renggang ketika Find N2 dilipat serta lipatan dan bukaan peranti terasa lebih yakin dan selamat.

Menurut OPPO, perjalanan untuk mencipta engsel adalah aspek paling mencabar dalam pembikinan sebuah telefon pintar boleh lipat. 

OPPO mula mencipta sistem engsel sendiri sejak 2018 dan ia mengambil masa selama empat tahun sebelum berjaya menghasilkan engsel Flexion Hinge pada model Find N.Pembaharuan seterusnya dibuat menerusi OPPO Find N2 yang mana Flexion Hinge ditambah baik menjadikan saiznya lebih kecil, nipis serta kukuh.

Satu lagi perkara menarik mengenai engsel ini adalah sudut bukaannya boleh dipelbagaikan, tidak seperti sesetengah telefon boleh lipat yang hanya boleh dibuka ataupun ditutup. 

Engsel Find N2 boleh terbuka pada mana-mana sudut antara 45 darjah dengan 125 darjah, ia membolehkan pengguna menikmati kandungan multimedia tanpa penyangga telefon.

Selain itu, kedua-dua orientasi skrin Find N2 diyakini mampu menawarkan pengalaman penggunaan yang berkualiti, tidak kira sama ada anda memegangnya menggunakan satu atau dua tangan dalam keadaan skrin terbuka atau tertutup.

Tidak sama seperti kebanyakan peranti boleh lipat lain di pasaran, paparan penuh OPPO Find N2 ketika ia dibuka hadir dengan skrin paparan landskap sebesar 7.1 inci yang luas, mengasyikkan dan lancar.

Skrin luaran ketika telefon pintar dilipat juga sesuai memenuhi keperluan tugasan harian seperti membalas mesej, e-mel dengan pantas, mendail nombor telefon dan menatal suapan. 

Selain itu, dengan nisbah skrin ke badan 17.7:9 dan lebar 72.6 mm saat ia ditutup, pengguna Find N2 masih boleh menavigasi telefon pintar mereka dengan mudah, serta sesuai untuk menaip dengan selesa.

OPPO Find N2 turut menerima pujian peminat teknologi apabila ia direka cukup ringan dengan berat hanya 237g bagi kemasan kulit berwarna Matte White dan Demure Green, manakala 233g bagi kemasan kulit Classic Black. 

Dari segi rekaan badan peranti pula, OPPO Find N2 tampil langsing dan tipis dengan ketebalan keseluruhan ketika peranti dibuka adalah 7.4 milimeter (mm) sahaja.

Ini menjadikan OPPO Find N2 sebuah telefon pintar boleh lipat dengan bukaan melintang paling ringan di pasaran setakat ini. 

Dengan semua inovasi rekaan secanggih ini, OPPO Find N2 diyakini selesa berada dalam genggaman tanpa sebarang masalah.

Sementara itu, OPPO Find N2 disertakan lima sensor kamera iaitu tiga pada panel belakang yang terdiri daripada sensor utama 50 MP Sony IMX890 dengan apertur f/1.8 dan OIS, sensor ultra lebar 48 MP IMX581 yang juga menawarkan ciri fotografi makro dan sensor telefoto 47mm beresolusi 32MP iaitu sensor Sony IMX709. 

Menurut OPPO, kamera OPPO Find N2 ini juga membawa kepakaran fotografi Hasselblad.

MariSilicon Y

Selain OPPO Find N2, inovasi teknologi lain yang turut mencuri tumpuan pada Hari INNO 2022 adalah MariSilicon Y. 

Walaupun namanya hampir serupa seperti neural processing unit (NPU) MariSilicon X, tetapi MariSilicon Y bukanlah peranti dalam kategori sama.

Menurut OPPO, ia adalah sistem pada cip (SoC) Bluetooth pertama yang menggunakan teknologi pemprosesan canggih N6RF. 

SoC Bluetooth ini juga dilengkapi sistem pengekodan eksklusif URLC dan NPU khusus yang memiliki kuasa pengkomputeran pada peranti sehingga 590 GOPS.

Dengan adanya teknologi secanggih ini, MariSilicon Y berupaya meningkatkan capaian Bluetooth sehingga 50 peratus berbanding SoC Bluetooth dengan spesifikasi tinggi lain di pasaran. 

Lebih mengagumkan, MariSilicon Y turut menjadi SoC Bluetooth pertama yang dapat mentransmisikan audio nirhilang ultra jelas 24-bit/192kHz dengan kualiti suara yang sama seperti sambungan menggunakan wayar.

Air Glass 2

Teknologi seterusnya yang diperkenalkan pada Hari INNO 2022 adalah cermin mata pintar Assisted Reality, OPPO Air Glass 2. 

Cermin mata pintar ini hadir dengan rekaan kukuh dan ringan seberat 38g serta dilengkapi lensa resin SRG-diffractive waveguide pertama di dunia. 

Lensa terbabit mampu menyokong pembetulan dan penyesuaian jarak penglihatan sama seperti cermin mata biasa untuk masalah rabun jauh dan dekat. 

Kelebihan utamanya adalah OPPO Air Glass 2 dapat melakukan panggilan telefon, menterjemah pada masa nyata, menyediakan navigasi lokasi, serta mengubah suara kepada teks bagi pengguna dengan masalah pendengaran.

OHealth H1

Hari INNO 2022 turut menyaksikan OPPO tampil memperkenalkan produk pemantau data kesihatan keluarga pertama menerusi jenama OHealth yang dikenali sebagai OHealth H1. 

OHealth H1 menggabungkan enam fungsi pemantauan kesihatan keluarga dalam satu peranti merangkumi oksigen dalam darah, elektrokardiogram (ECG), auskultasi jantung dan paru-paru, degupan jantung, suhu badan serta pengesanan tidur. 

Dengan menggunakan teknologi penderia berketepatan tinggi serta algoritma kesihatan terkemuka dalam industri, OHealth H1 diyakini dapat membantu pengguna memantau tahap kesihatan mereka dengan tepat dan efisien.

Dari segi rekaan, OHealth H1 dicipta ringan dengan berat hanya 95 gram (g), berbentuk bulat estetik di bahagian tepi serta rekaan bujur sepusat bagi memudahkan pengguna membawanya ke mana sahaja.

OPPO Research Institute Innovation Accelerator

Pada majlis sama, OPPO mengumumkan mengenai pelancaran OPPO Research Institute Innovation Accelerator yang dirasmikan pada Mei lalu. 

OPPO Research Institute Innovation Accelerator dibangunkan bagi mencari lebih banyak penyelesaian dalam teknologi dan kesihatan digital bersama-sama dengan profesional teknologi dan usahawan.

Pada penghujung Ogos, OPPO mengumumkan 10 cadangan teratas yang dipilih daripada 536 penyertaan membabitkan 39 negara dan wilayah. 

Sepuluh pasukan itu masing-masing dianugerahkan geran bernilai USD $46,000 beserta peluang pelaburan, sokongan teknologi, perkongsian komersial dan promosi global.

OPPO berkongsi kepercayaan yang sama dengan semua pasukan dalam menggunakan kuasa teknologi untuk memperbaiki kehidupan dan akan terus memacu inovasi untuk kebaikan.

OPPO Find N2 kini tersedia di pasaran Malaysia dalam tiga pilihan warna iaitu Demure Green, Matte White dan Classic Black. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inovasi OPPO, layari www.oppo.com/my.  

© New Straits Times Press (M) Bhd