Perang psikologi JDT-Buriram

Perang psikologi JDT-Buriram
Perang psikologi JDT-Buriram

Bergson da Silva (kanan) dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama JDT pada perlawanan menentang Buriram di Stadium Sultan Ibrahim. Foto Johor Southern Tigers

AKSI kedua pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Elit (ACLE) yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa depan bakal diwarnai dengan perang psikologi pengendali kedua-dua pasukan.

Strategi ampuh dan taktikal terbaik jurulatih skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio serta rakan sejawat kelab dari Thailand itu, Osmar Loss menjadi taruhan untuk membawa pasukan mereka ke suku akhir.

Penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustafa melihat peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang, cuma yang membezakan mereka ialah corak permainan dan prestasi para pemain semasa hari perlawanan.

Mohd Sadek

Mohd Sadek

Beliau berkata, aksi itu juga disifatkan sangat menarik yang bukan sahaja mahu mencari pemenang untuk ke pusingan kalah mati, namun mengangkat salah satu kelab sebagai jagoan di rantau Asia Tenggara.

“Kedua-dua pasukan sudah pasti mahu menang. Ini misi hidup dan mati setiap jurulatih untuk membawa kelab mereka ke peringkat seterusnya.

“Malah saya percaya corak permainan akan lebih terbuka dengan setiap pasukan mahu meledak gol dan muncul sebagai pemenang,” katanya.

Kedua-dua pasukan buntu untuk mencari gol setelah terikat tanpa jaringan di Chang Arena dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir pada Selasa.

Mohd Sadek menjelaskan bahawa selain corak permainan, para pemain juga perlu memiliki kekuatan mental luar biasa untuk mengawal emosi daripada provokasi yang mungkin timbul dalam kalangan mereka.

“Ini juga antara perkara penting agar ia tidak menjejaskan strategi serta taktikal yang dirancang oleh jurulatih yang boleh merugikan pasukan akibat layangan kad merah,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, corak serangan juga wajar dipelbagaikan dengan tidak bergantung kepada satu atau dua pemain sahaja yang menjadi umpan untuk menghasilkan gol.

“Taktikal ini kerap diamalan oleh kelab Eropah seperti Manchester City, Liverpool dan Paris Saint-Germain. Ketika Erling Haaland buntu dengan jaringan akan muncul hero lain menyumbat gol.

“Begitu juga dengan JDT, tidak hanya berharap kepada Arif Aiman (Hanapi), namun pemain lain turut agresif dan dahagakan jaringan,” katanya.

Sebagai rekod, saingan suku akhir akan diadakan menerusi format karnival atau ‘cross regional’ di Arab Saudi pada April depan.

Scroll to Top