Perancis bangkit benam Belgium

Perancis bangkit benam Belgium

Lyon: Randal Kolo Muani dan Ousmane Dembele menjaringkan gol bagi membolehkan Perancis bangkit daripada kekalahan di tangan Itali Sabtu lalu dengan menewaskan Belgium 2-0 dalam saingan Liga Negara-Negara, awal pagi tadi.

Ia bukan kekuatan penuh skuad Perancis yang beraksi di Lyon apabila kapten Kylian Mbappe antara tidak beraksi dalam lapan perubahan dilakukan jurulatih Didier Deschamps.

Perancis tewas 1-3 di tangan Itali di Paris walaupun mendahului pada awal permainan manakala Belgium masih segar dengan kemenangan ke atas Israel dengan jaringan sama.

Keputusan itu melegakan Deschamps selepas skuadnya tampil hambar ketika menentang Itali.

“Sudah tentu saya gembira dengan reaksi kami dan kemampuan menentang skuad handal seperti Belgium yang menekan kami pada 20 minit pertama,” kata jurulatih itu yang namanya diejek sebahagian penyokong ketika pengumuman pasukan.

“Tetapi prestasi kami pada Sabtu lalu bukanlah yang terburuk dan saya tak kata semuanya kini bagus. Semuanya sudah diperbaiki.”

Perlawanan pagi tadi adalah ulangan peringkat 16 terakhir Euro 2024 yang dimenangi Perancis 1-0 di Duesseldorf hasil jaringan sendiri pada lewat permainan.

Les Bleus membuka tirai jaringan sejurus sebelum setengah jam perlawanan apabila Kolo Muani menolak bola masuk tampanan kurang kemas penjaga gol Belgium Koen Casteels.

Skuad Belgium yang diterajui kapten Kevin De Bruyne gagal medapatkan gol penyamaan dan Perancis menambah jaringan minit ke-57 hasil jaringan Dembele yang meledak rembatan dalam kotak penalti.

Mbappe, Antoine Griezmann dan Michael Olise antara pemain yang masuk daripada bangku simpanan untuk Perancis pada babak kedua bagi memburu kemenangan meyakinkan selepas tewas di tangan Itali.

Itali kini menduduki tangga teratas Kumpulan A2 dengan enam mata selepas menewaskan Israel 2-1. Perancis dan Belgium masing-masing meraih tiga mata manakala Israel tercorot.

Perlawanan seterusnya pada Oktober menyaksikan Itali menentang Belgium di Rom dan Israel berdepan Perancis di Budapest.

© New Straits Times Press (M) Bhd