PERAK FC HAJAT SEKAT JDT DI SSI KHAMIS INI
IPOH, 18 Feb (Bernama) – Perak FC berhajat ‘mencuri’ satu mata dalam aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri pada 27 Feb ini sekali gus menyekat skuad Harimau Selatan itu menjulang kejuaraan kali ke-11 berturut-turut lebih awal.
Ketua jurulatihnya Yusri Che Lah berkata bagaimanapun, ia bukan tugas yang mudah lebih-lebih lagi skuad kendalian Hector Bidoglio itu baru sahaja mengecap kejayaan mara ke ke pusingan 16 saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas menewaskan kelab Korea Selatan Pohang Steelers FC 5-2 di laman sendiri.
“Mereka pasukan yang cukup lengkap. Bukan hanya tidak pernah tewas malah rekod seri pun tak dapat dilakukan mana-mana pasukan apabila menentang JDT di SSI.
“Namun, kita tetap punya peluang untuk cuba menyaingi mereka dan kalau boleh sekurang-kurangnya mencuri satu mata di SSI bagi menyekat hajat JDT menjulang kejuaraan di hadapan penonton mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Berdasarkan rekod, JDT masih unggul di kedudukan pertama liga daripada 13 pasukan apabila mengumpul 55 mata manakala The Bos Gaurus berada di tempat kelima dengan 23 mata.
– LAGI
YUSRI-PERAK FC (AKHIR) 2 IPOH
Yusri berkata buat masa ini penumpuan lebih terarah kepada aspek kecergasan serta taktikal yang dilihat amat penting dalam memastikan segala kelemahan dapat diperbaiki sebelum sepak mula berlangsung.
“Kedua-dua aspek ini yang akan menjadi pendorong dan memudahkan saya untuk memilih kesebelasan utama terbaik bagi perlawanan itu nanti,” katanya.
Ditanya tentang perkembangan terkini pemain, beliau berkata setakat ini terdapat sekurang-kurangnya enam pemain yang telah mengutip kad kuning dan rata-rata merupakan tonggak utama pasukan.
Beliau berkata antara pemain tersebut Muhammad Firdaus Saiyadi, Tommy Mawat Bada, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, Adilet Kanybekov, Luciano Guycochea dan A.Shivan Pillay.
“Walaupun boleh dikatakan semua pemain bebas daripada kecederaan, saya masih bimbang dengan rekod kad kuning pemain.
“Jika ada antara mereka yang mengutip kad dalam perlawanan menentang JDT nanti, bermakna kita akan kehilangan mereka untuk perlawanan seterusnya. Kesannya, ia akan mengecilkan saiz skuad dan merugikan kita untuk mengutip mata,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd