Perak FC enggan terluka lagi di tangan TFC

Perak FC enggan terluka lagi di tangan TFC

IPOH – Aspek kecergasan menjadi nadi penting kepada Perak FC bagi  mengimbangi kekuatan Terengganu FC (TFC) menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 14 Jun ini.

Ketua jurulatih Perak FC Yusri Che Lah berkata, lawan mereka bukan calang-calang pasukan dan berdasarkan kepada statistik skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu telah mencipta enam jaringan selain hanya bolos sekali dalam tiga aksi Liga Super.

“Statistik tersebut menunjukkan betapa tajamnya mereka di barisan serangan dan pada masa sama kebal di bahagian pertahanan. Cuma kita tak mahu terluka buat kali kedua di tangan mereka.

“Jadi, dengan penekanan terhadap aspek kecergasan dalam sesi latihan amat penting kepada setiap pemain supaya kita dapat mengimbangi perlawanan dan mencatatkan keputusan positif,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Untuk rekod, dalam saingan Piala FA musim lepas, The Bos Gaurus gagal mara ke pusingan kedua selepas tunduk 1-2 kepada Sri Pahang FC dalam aksi  di Stadium Perak pada 8 Mac tahun lepas.

Mengulas mengenai taktikal pasukan, Yusri berkata, beliau bersama barisan kejurulatihan sedang mengatur strategi lebih ampuh terutama dalam menyekat jentera serangan tuan rumah diketuai penyerang import dari Nigeria Ismahil Akinade.

“Sesungguhnya perancangan yang amat baik akan cuba saya tampilkan nanti dan kita harap kelibat (Ismahil) Akinade, Akhyar Rashid, Safawi Rasid serta Manuel Ott dapat dirantai pada perlawanan tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata buat masa ini semua pemain utama pasukan termasuk tonggak import bebas daripada sebarang kecederaan dan dijangka dapat diturunkan dalam perlawanan itu nanti. – BERNAMA

Scroll to Top