Peraih gagal penuhi permintaan kelapa untuk Thaipusam

Peraih gagal penuhi permintaan kelapa untuk Thaipusam

BAGAN DATUK: Peraih di daerah ini tidak dapat memenuhi permintaan kelapa sempena perayaan Thaipusam berikutan penghasilan komoditi itu di berkurangan hampir 70 peratus susulan musim melawas atau buah tidak menjadi disebabkan cuaca tidak menentu.

Seorang peraih kelapa di Kampung Sungai Tiang Baroh di sini, Kamarul Bahrain Muhyiddin, 51, berkata, dia menerima tempahan sebanyak 50,000 hingga 100,000 biji kelapa untuk perayaan Thaipusam dari peraih di Pulau Pinang.

Menurutnya, namun dia tidak dapat memenuhi permintaan tersebut kerana bekalan kelapa dari daerah ini merosot teruk disebabkan musim melawas.

“Memang setiap tahun saya menerima tempahan kelapa untuk perayaan Thaipusam dari Pulau Pinang dan Batu Caves, Selangor. Tempahan yang me­reka mahukan sekitar 50,000 hingga 100,000 biji.

“Sebelum ini tiada masalah, saya boleh bekalkan jumlah kelapa yang mereka minta tapi kali ini sebiji pun saya tak boleh nak beri kerana pokok tidak mengeluarkan buah kerana melawas disebabkan cuaca tidak menentu.

“Kalau boleh saya tidak mahu menghampakan mereka tapi saya tak boleh nak penuhi permintaan kelapa kerana di sini memang tiada kelapa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, ramai peraih yang terkejut dengan kekura­ngan kelapa terutama menjelang perayaan Thaipusam.

Katanya, ramai juga yang menghubunginya untuk mendapat kepastian mengenai ma­salah kekurangan kelapa di daerah ini seperti yang dilaporkan.

“Mereka seperti tidak percaya boleh berlaku kekura­ngan kelapa di daerah ini yang ter­kenal dengan keluasan tanaman kelapa. Namun inilah yang berlaku, memang tiada kelapa.

“Saya juga kecewa kerana tidak dapat memenuhi permintaan mereka. Kalau boleh saya tak mahu hampakan permintaan mereka tapi saya tak dapat berbuat apa-apa disebabkan kelapa tidak berbuah lebat seperti biasa,” katanya.

Katanya, keadaan itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu menyebabkan bekalan kelapa semakin berkurangan.

Pada masa yang sama, pekebun juga berdepan ancaman kera yang merosakkan buah kelapa selain menyebabkan putik kelapa dileraikan dari tanda­nnya.

“Kekurangan kelapa menyebabkan kami terpaksa membeli kelapa dari Indonesia. Namun buah kelapa dari Indonesia kurang berkualiti tidak seperti kelapa yang dihasilkan di Bagan Datuk. Buah kelapa dari Indonesia mudah rosak dan santan yang dihasilkan tidak sama kualiti dengan kelapa tempatan.

“Buah kelapa Indonesia juga mahal iaitu harga timbang satu tan harga RM250 sehingga RM290 satu tan iaitu antara 700 atau 800 biji setiap satu tan. Buahnya juga cepat rosak dan tidak boleh simpan lama kerana kelapa yang diimport adalah kelapa muda,” katanya.-UTUSAN.

Scroll to Top