Perahu Kolek, tarik baharu pelancong ke Kelantan

Perahu Kolek, tarik baharu pelancong ke Kelantan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Bermula hanya sebagai awak-awak bot nelayan pesisir pantai, kini Ramlee Mat, 43, boleh berbangga kerana memiliki perahu kolek sendiri bernilai RM200,000.

Dia yang sudah 26 tahun bekerja sebagai nelayan mengakui tidak menyangka mampu memiliki perahu kolek sendiri yang bukan sahaja digunakan untuk mencari rezeki di laut, malah menyediakan khidmat River Cruise untuk membawa pelancong.

Katanya, perahu kolek miliknya adalah yang paling besar di Jeti Tanjung Kuala Sabak, Pengkalan Chepa, di sini dengan panjang 12.2 meter dan lebar tiga meter selain memiliki corak dengan warna yang menarik.

“Kedua-dua perahu kolek ini lebih difokuskan untuk perkhidmatan River Cruise yang menelusuri Sungai Pengkalan Datu, di sini, memandangkan saya mempunyai dua lagi bot fiber yang digunakan untuk mencari rezeki di laut.

“Umum mengetahui, kerajaan negeri Kelantan juga kini dalam usaha mengembangkan sektor pelancongan yang mana perahu kolek menjadi salah satu tarikan baharu di negeri ini.

“Justeru saya mengambil peluang membantu sektor pelancongan selain dapat mencari rezeki kerana potensi perahu kolek sendiri adalah lebih kepada perkhidmatan River Cruise susulan pergerakan perahu yang agak perlahan dengan minyak yang lebih jimat,” katanya.

Dia ditemui pada Majlis Pelancaran Perahu Kolek Dikir Barat di Jeti Tanjung Kuala Sabak, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor.

Ramlee berkata, perahu kolek yang menjadi tradisi nelayan pesisir Pantai Kampung Sabak, di sini, mempunyai keistimewaan tersendiri kerana bentuknya yang unik dipenuhi ukiran bermotifkan awan larak yang berwarna warni.

“Sebenarnya, perahu terbaharu (kedua) yang saya miliki mengambil masa agak lama iaitu selama empat tahun untuk disiapkan kerana proses pembuatanya dilakukan oleh di Narathiwat, Thailand.

“Tambahan pula, saya terpaksa menunggu giliran memandangkan hanya seorang sahaja pakar pembuatan perahu kolek yang tinggal. Malah, saya mengambil insiatif menyiapkan corak dan warnanya di sini, dengan membawa tukang dari Thailand ke mari,” katanya.

Sementara itu, salah seorang nelayan, Harun Hanafi, 41, berkata perahu kolek hanya terdapat di penempatan nelayan Kampung Sabak, di sini, selain terdapat di negara Thailand, menjadika ia mempunyai keunikan tersendiri.

“Setakat ini, terdapat hampir 30 perahu kolek ditempatkan di jeti Tanjung Kuala Sabak yang mana digunakan untuk ke laut serta membawa pelancong.

“Perahu kolek bagaikan sudah sebati dalam kehidupan nelayan di sini, dan saya berharap agar warisan tradisi dapat terus dikekalkan pada masa akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top