
Perlawanan antara Persela Lamongan dan Persijap Jepara terpaksa dihentikan selepas penonton merusuh.
PERLAWANAN Liga 2 Indonesia membabitkan Persela Lamongan dan Persijap Jepara berlangsung di Stadium Tuban Sport Center, Jawa Timur berakhir dengan keadaan tidak diingini selepas rusuhan berlaku membabitkan penyokong di atas padang.
Pertandingan yang berlangsung sengit sejak awal perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebelum Persela Lamongan ketinggalan 0-1.
Situasi berubah kecoh pada minit ke-79 apabila suar dilemparkan sebelum penyokong mula turun ke padang.
Fasiliti stadium juga menjadi sasaran amukan seperti tempat duduk pemain, papan iklan, serta kaca di ruangan bawah stadium mengalami kerosakan manakala salah satu pintu gol dibakar.
Akibat insiden tersebut, pertandingan terpaksa dihentikan sebelum waktu sebenar berakhir dan dilaporkan tiada kecederaan berlaku.
Dalam pada itu, Persekutuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) berpotensi menjatuhkan hukuman tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kejadian tersebut.
Presiden Persela Lamongan, Fariz Julinar Maurisal berkata, beliau memahami semangat penyokong, tetapi menekankan pentingnya belajar daripada insiden tersebut.
“Saya memahami fanatik dan harapan tinggi dari para penyokong, tetapi dari kejadian ini kita harus belajar,” katanya seperti dilaporkan media Indonesia, Metro TV.