Penyertaan Nadal di Paris 2024 cetus persoalan

Penyertaan Nadal di Paris 2024 cetus persoalan

Paris: Rafael Nadal mengalami kecederaan paha menyebabkan penyertaannya di Olimpik Paris kini menimbulkan persoalan, kata jurulatihnya Carlos Moya.

Juara Terbuka Perancis 14 kali itu dijadualkan bermain dalam acara perseorangan dan beregu lelaki bersama bintang yang sedang meningkat naik dan rakan sepasukan Sepanyol, Carlos Alcaraz di Roland Garros.

“Dia mengalami sedikit ketidakselesaan pagi semalam (Khamis).

“Pada sebelah petangnya pergerakannya semakin terhad dan sebelum ia menjadi lebih teruk dia memutuskan untuk berhenti,” kata Moya kepada radio Sepanyol.

Nadal yang berusia 38 tahun tidak menjalani latihan semalam yang menurut Moya adalah “perkara terbaik untuk dilakukan.”

Nadal kembali bermain tenis tahun ini selepas berdepan kecederaan pinggul yang panjang, mara ke final ATP pertamanya sejak memenangi Terbuka Perancis 2022 di Bastad hujung minggu lalu sebelum tewas kepada Nuno Borges dari Portugal.

Dia dijadualkan menentang pemain Hungary, Marton Fucsovics pada pusingan pertama acara perseorangan Ahad ini, sehari selepas bergandingan dengan Alcaraz dalam acara beregu.

Jika Nadal menewaskan Fucsovics, dia akan berdepan dengan seteru utamanya di pusingan kedua iaitu Novak Djokovic.

“Saya tidak boleh menjamin apa-apa, sama ada dia tidak akan bermain atau dia akan bermain. Pada masa ini dia perlu berehat, menjalani rawatan,” kata Moya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top