Penyerahan 2 tahanan Guantanamo: 'Semua berhak dapat peluang kedua' – KPN

Penyerahan 2 tahanan Guantanamo: 'Semua berhak dapat peluang kedua' – KPN

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua rakyat Malaysia yang diserahkan Amerika Syarikat (AS) selepas ditahan di Kem Guantanamo, di Cuba sejak 18 tahun lalu diarahkan menjalani proses penilaian.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima dua warganegara Malaysia, Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep hari ini.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan supaya mereka menjalani porses penilaian dan seterusnya memasuki fasa pemulihan secara komprehensif sebelum diintegrasikan ke dalam masyarakat.

“Kedua-dua individu ini diterima dalam keadaan baik dan sihat. Mereka sangat bersyukur dapat kembali ke tanah air dan dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razarudin berkata, kedua-dua mereka mempamerkan sikap yang positif dan terbuka untuk dinilai dan dipulihkan serta menyatakan komitmen yang tinggi untuk kembali menjadi ahli masyarakat yang progresif.

“Semua orang berhak mempunyai peluang kedua dan PDRM akan memastikan mereka berjaya mencapai peluang berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, AS menyerahkan dua rakyat Malaysia yang ditahan di Kem Guantanamo, di Cuba sejak 18 tahun lalu.

Beliau berkata, keputusan menerima dua individu berkenaan iaitu Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin dibuat atas prinsip hak asasi manusia dan dokongan keadilan sejagat.

Katanya, kedua-dua tahanan itu ditahan sejak 2006.

Sebelum ini, media melaporkan dua rakyat Malaysia itu adalah Mohammed Nazir dan Mohammed Farik yang berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.

Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum dipindahkan ke kem tahanan itu pada 2006.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top