Penyeludup lari tinggalkan reptilia hidup termasuk ular

Penyeludup lari tinggalkan reptilia hidup termasuk ular

nfazlina@nstp.com.my

Tumpat: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 84 haiwan reptilia hidup yang diseludup dari Thailand termasuk pelbagai jenis ular dan cicak bernilai RM302,500, di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, di sini, pagi semalam.

Rampasan 6.30 pagi itu dilakukan Batalion 9 PGA menerusi Op Taring Wawasan. Ia selepas melihat beberapa lelaki dalam keadaan mencurigakan di tebing Sungai Golok.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sebaik beberapa penyeludup berkenaan melihat kehadiran pihak berkuasa, mereka terus melarikan diri dan meninggalkan beberapa kotak.

“Hasil pemeriksaan dalam kotak berkenaan mendapati lebih 70 ular, lima cicak jenis Spiny Tailer Monitor dan sembilan kura-kura dipercayai diseludup dari Thailand.

“Haiwan reptilia hidup ini dipercayai untuk diseludup masuk ke pasaran tempatan. Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM302,500.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Hasil rampasan diserahkan ke Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top