Penyelia kedai runcit ditetak, lima warga asing ditahan

Penyelia kedai runcit ditetak, lima warga asing ditahan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lima warga asing termasuk dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai runcit di Seksyen 7, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kesemua suspek warga Bangladesh berusia 33 hingga 53 tahun itu ditahan di hadapan kedai runcit berkenaan jam 1.45 tengah hari, semalam.

Beliau berkata, polis terdahulu menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.26 pagi yang memaklumkan ada kejadian orang kena tetak di hadapan sebuah kedai runcit di Seksyen 7.

“Pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan dari Hospital Shah Alam mendapati lelaki berusia 45 tahun yang bekerja sebagai penyelia kedai runcit itu sudah meninggal dunia.

“Terdapat beberapa kesan kecederaan di bahagian kepala, badan dan tangan akibat diserang menggunakan objek tajam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beberapa saksi awam yang berada di tempat kejadian memberitahu mendengar pertengkaran mulut antara mangsa dan seorang pekerja berhubung isu kelewatan bayaran gaji.

Katanya, keadaan semakin tidak terkawal sehingga berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.

“Mangsa diserang menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan ditetak berulang kali oleh pekerja sehingga jatuh terbaring di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, semakan lanjut mendapati kesemua suspek tiada sebarang rekod jenayah lampau serta hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati mereka negatif sebarang penyalahgunaan dadah.

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 21 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat atau melihat kejadian yang berlaku boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Superintendan Mohd Afandi Ahmad di talian 0167252948,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top