Penyampai radio, bomba selamatkan lelaki di Menara LPP

Penyampai radio, bomba selamatkan lelaki di Menara LPP

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan bomba dengan bantuan seorang selebriti yang juga penyampai radio berjaya menyelamatkan seorang lelaki di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jalan Sultan Salahuddin, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan berkenaan pada jam 10.23 pagi.

Susulan itu, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ke lokasi.

Komander Operasi Kanan JBPM Kuala Lumpur, Mohd Shazzuan Ramli berkata, pada masa sama petugas PGO, Azaha Yasim turut memujuk lelaki berkenaan kira-kira 30 minit melalui perbualan telefon.

“Individu berkenaan memohon untuk bercakap dengan kenalannya iaitu seorang selebriti tanah air yang juga seorang penyampai radio.

“PGO Kuala Lumpur berjaya menghubungi selebriti itu sebelum menyambungkan talian kepada individu terbabit.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada jam 10.32 pagi, mangsa berada di hujung bangunan tingkat 11.

“Anggota mengalami kesukaran untuk mendekati mangsa kerana beliau memegang senjata tajam (parang),” katanya.

Menurutnya, mangsa akhirnya berjaya dipujuk oleh anggota bomba dengan bantuan selebriti tanah air berkenaan yang turut hadir ke lokasi kejadian.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.29 tengah hari,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top